Kekurangan fasiliti bekalan air bersih di Kabul, di sini, dijangka dapat diatasi apabila kira-kira 60 telaga tiub bakal dibina, dalam memberi manfaat bekalan air bersih kepada penduduk di sekitarnya.

KABUL, (Afghanistan) – Kekurangan fasiliti bekalan air bersih di Kabul, di sini, dijangka dapat diatasi apabila kira-kira 60 telaga tiub bakal dibina, dalam memberi manfaat bekalan air bersih kepada penduduk di sekitarnya.

Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) Zulkifli Wajihan berkata kesemua telaga tiub berkenaan, mampu memberi manfaat kepada kira-kira tiga keluarga bagi setiap sebuah telaga tiub, di kawasan yang mengalami masalah kekurangan bekalan air bersih.

Beliau berkata sehingga kini, pembinaan itu sudah berjalan dengan lima buah daripadanya telah siap dibina dan boleh digunakan penduduk.

“Perancangan jumlah itu dijangka bertambah berdasarkan kutipan sumbangan diperolehi, bagi memenuhi keperluan mereka yang mengalami banyak krisis susulan peperangan, kemarau dan keadaan politik negara tidak menentu sejak Taliban mengambil alih kuasa,” katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, menceritakan kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih, Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia Jamiluddin Elias berkata seorang remaja dalam sesebuah keluarga perlu berjalan sekurang-kurangnya satu kilometer, untuk mendapatkan bekalan air.

“Pembinaan telaga tiub ini melibatkan sekitar harga USD1,500 sebuah, namun pembinaannya juga perlu menitik beratkan tentang kesesuaian kawasan itu dibina,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu Tabung Kemanusiaan Afghanistan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882, Bank Islam 14014010147470 atau Bank CIMB 8604171675.

Seramai 14 orang menyertai misi bantuan itu termasuk wartawan Meja Jenayah dan Keselamatan Bernama Muhammad Afiff Md Adnan, yang menjadi antara petugas media tempatan pertama menjejakkan kaki ke negara itu selepas diambil alih oleh kerajaan interim Taliban.

Rombongan berkenaan telah tiba di Kabul pada hari ini.

Afghanistan terus bergolak apabila tentera Taliban menumbangkan kerajaan Mohammad Ashraf Gani pada pertengahan Ogos lepas, susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu selepas 20 tahun mendudukinya.

Kerajaan Malaysia masih mengambil sikap tunggu dan lihat perkembangan sebelum mengiktiraf kerajaan baharu Afghanistan.- BERNAMA