ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu.

KUANTAN – Meskipun masyarakat sudah sinonim dengan norma baharu namun masih ada segelintir yang belum berdisiplin terutama penjarakan fizikal di tempat awam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya tidak akan lagi berkompromi jika salah satu daripada elemen pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masih belum dipatuhi sepenuhnya.

Tindakan tegas termasuk kompaun akan terus dikeluarkan tanpa amaran kepada mereka yang ingkar dan mengambil mudah pematuhan jarak.

“Masa untuk menasihati sudah kini sudah habis, langkah pihak berkuasa seterusnya akan mengambil tindakan jika salah satu daripada elemen pematuhan SOP gagal dipatuhi.

“Pemakaian pelitup muka memang boleh dilaksanakan, namun segelintir masih belum dapat menjaga jarak fizikal dengan selamat di tempat awam ini sangatlah berisiko,” katanya ditemui semasa Operasi Pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 4 di Kuantan City Mall, Pantai Teluk Chempedak dan Restoran Ana Ikan Bakar di sini semalam.

Operasi diaggotai oleh 16 pegawai dan 39 anggota dijalankan secara bersepadu bersama agensi lain sepeti Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Tambah Wan Mohd Zahari, pematuhan SOP juga perlu dipantau oleh semua pengusaha restoran dalam memastikan jarak fizikal sentiasa dipatuhi pelanggan terutama di lokasi tumpuan orang ramai.

“Memandangkan sektor ekonomi sudah beroperasi pada fasa empat, kerjasama semua pihak terutama pengusaha restoran atau pusat pelancongan untuk memastikan pelanggan tidak berhimpit dan ada jarak fizikal.

“Ini bagi mengurangkan risiko kenaikan kes jika terus mengabaikan jarak fizikal di kerana kita masih belum menang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast