Noor Hariri Mohamed Noor

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu mengugut dalam menjawab cabaran daripada Tan Sri Shahrir Abd. Samad.

Sebagai bekas Perdana Menteri, beliau harus matang dan berhemah dalam menjawab ‘serangan’ musuh politik bukan mengeluarkan kenyataan memalukan seperti ‘bodoh’ dan berunsur menakut-nakutkan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, ayat “Kalau saya tekan butang, Johor jatuh” oleh Muhyiddin penuh dengan maksud dan niat ugutan tidak baik.

“Sebagai seorang bekas Perdana Menteri, Muhyiddin tidak perlu nak mengugut sedemikian rupa. Amat memalukan. Rakyat semua tahu Muhyiddin juga bergantung kepada kerjasama antara UMNO.

“Dia juga jangan lupa, UMNO yang mengangkatnya menjadi Perdana Menteri walaupun PPBM mempunyai kerusi sedikit.

“Jadi, jangan main ugut-ugut macam budak kecil. Kalau nak tarik, silalah tarik. Pendayung ada di tangan. Kayuhlah ke mana arah yang nak dibawa PPBM ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, Muhyiddin menganggap cabaran Shahrir supaya mengadakan Pilihan Raya (PRN) di Johor seperti berlaku di Melaka, bukan sahaja berniat jahat, namun tidak berakal.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga berkata, “ itu niat jahat. Shahrir saya kenal… dia nak macam mana berlaku di Melaka, berlaku di Johor. Inilah dia pemimpin UMNO. Jangan cabar saya. Saya ini Presiden Bersatu, Pengerusi PN. Saya memikir nasib rakyat, itu yang pertama. Dia tak fikir.

“Kalau nak cabar, saya boleh buat… sekarang juga saya boleh tekan button. Saya langsung tak takut, tetapi saya fikir nasib rakyat Johor,” kata Muhyiddin sebagaimana dilaporkan media.

Menurut Noor Hariri,  rakyat melihat sama ada scheme of things berjaya atau kuasa rakyat yang akan membenamkan pengkhianat Bersatu terhadap mandat rakyat.

Katanya, apa yang terjadi di Melaka adalah tindakan pengkhianat yang tentunya bukan mendapat sokongan UMNO.

“UMNO kekal tidak akan bekerjasama dengan pelompat parti dan penuh skandal moral peribadi. Pesanan saya kepada Muhyiddin, tepuk dada tanya selera. Anda telah rosakkan peluang 17 bulan memerintah negara. Ternyata gagal.

“Jadi, duduk diam-diam. Ikut sahaja arus di bawah pentadbiran Perdana Menteri baru ini (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast