Kira-kira lima pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memantau pergerakan Datuk Seri Najib Tun Razak di DUN Gadek, Melaka malam tadi,

ALOR GAJAH – Ke mana sahaja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berada, kehadiran beliau pasti mendapat perhatian, apatah lagi sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Walaupun penganjur program yang dihadiri ahli Parlimen Pekan itu sebelum ini pernah dikenakan kompaun RM4,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) namun ia tidak menghalang beliau untuk terus bertemu dengan rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis makan malam bersama rakyat di Restoran Man Gadek, DUN Gadek, Melaka malam tadi.

Terbaharu bekas Perdana Menteri itu hampir dikenakan kompaun oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan penganjur majlis makan malam bersama rakyat yang dihadirinya hampir hilang kawalan.

Ia susulan ketidakpatuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana gagal melakukan penjarakan fizikal dan melebihi kapasiti sebuah restoran terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek di sini malam tadi.

Tinjauan di lokasi majlis itu mendapati kira-kira lima pegawai penguat kuasa KKM berada di restoran tersebut selepas 15 minit kehadiran Najib bagi memantau pematuhan SOP sepanjang majlis berkenaan.

Kebanjiran orang ramai di restoran tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas menarik perhatian pihak berkuasa.

Kehadiran luar biasa orang ramai bertambah sebaik sahaja calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N07 Gadek, P. Shanmugam dan Presiden Parti Makkal Sakti, Datuk Seri R. S. Thanenthiran hadir pada majlis sama.

Bagaimanapun, sebaik sahaja pegawai penguat kuasa KKM meminta orang ramai beredar, Najib bergegas keluar dari restoran itu untuk menyantuni orang ramai yang berada luar restoran sebelum pulang  lima minit kemudian. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Penganjur program Muhyiddin, Najib di Melaka kena kompaun