Calon Pakatan Harapan N.25 Rim, Prasanth Kumar semasa hadir minum petang bersama penduduk kampung di Warung warga Felda Tun Ghaffar, Kemendor, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 13 NOVEMBER 2021.

JASIN – Mengakui calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar atau Dira dilihat lebih popular namun ia bukan tiket memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bagi calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi yang sama, Prasanth Kumar, populariti Ketua Puteri UMNO Bahagian Jasin itu tidak memberi kesan.

Anak jati Jasin berusia 27 tahun itu mengakui Dira memberikan saingan sengit namun berpendapat, pengundi DUN Rim lebih bijak dalam memilih wakil rakyat mereka.

Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau atau dikenali Dira Zahar.

“Persaingan sengit dan populariti Dira juga agak tinggi berbanding saya, saya fikir rakyat akan membuat pilihan terbaik dan memilih orang yang boleh memberikan khidmat pada rakyat dan bukannya kerana populariti itu boleh memenangkan seseorang calon.

“Kelebihan saya sebab saya tinggal di Jasin dan merupakan anak jati dan kita telah berkhidmat lebih lama di kawasan ini dan saya fikirkan ini merupakan satu peluang untuk saya bertanding di kerusi ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Untuk itu, Prasanth mengetengahkan lima tawaran kepada para pengundi DUN Rim antaranya menyelesaikan masalah air di Kampung Sri Kersang di sini yang dihadapi penduduk lebih 30 tahun.

“Isu kedua, membangunkan kawasan taman ekstrem Tasik Cincin sebagai kawasan industri pelancongan, kelajuan internet di Jasin khususnya di DUN Rim sangat lemah.

“Kita akan cubua tingkatkan jika kita ambil alih kerajaan negeri dan ruang untuk kemudahan asas peniaga kecil kita akan laksanakan dan akhir sekali berkenaan isu infrastruktur anak-anak muda bersukan kita akan pertingkatkan.

“Kita tahu masa PH, Ketua Menteri, Adly Zahari ketika itu telah melaksanakan hari bertemu rakyat, saya sendiri akan laksanakan hari bertemu rakyat ini di DUN Rim apabila saya menang dan saya akan laksanakan setiap minggu dengan agensi dan jabatan dalam negeri,” katanya lagi.

DUN Rim menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara beliau, Dira dan Azalina Abdul Rahman daripada Perikatan Nasional (PN) yang mewakili Bersatu. – MalaysiaGazette