Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin (kiri) bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri (tengah) hadir pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Deepavali 2021 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) membolehkan rakyat menikmati kelonggaran dalam sektor ekonomi dan sosial secara berperingkat setelah tahap vaksinasi golongan dewasa mencapai 95.1 peratus sehingga semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama erat semua pihak termasuk antara kerajaan dan rakyat juga telah memungkinkan perhimpunan seperti Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Deepavali 2021 ini diadakan.

Menurut beliau, berbanding dengan tahun lepas, perayaan Deepavali tahun ini disambut lebih meriah dalam suasana norma baharu.

“Ramai juga yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman bertemu sanak saudara selepas kerajaan membenarkan rentas negeri pada 11 Oktober lalu.

“Syabas dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan, kepercayaan dan keyakinan penuh mereka kepada kerajaan untuk memulihkan negara dalam masa yang sangat mencabar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena MRTM Deepavali 2021 di Pusat Pelancogan Malaysia (Matic), Jalan Ampang di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan Presiden MIC, Tan Sri SA. Vigneswaran.

Bagaimanapun, menurut Ismail Sabri, dalam kegembiraan menyambut perayaan, rakyat harus terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan tidak sesekali bersikap sambil lewa atau memandang enteng terhadap ancaman Covid-19.

“Jika kita lalai, pandemik ini akan terus membelenggu dan menyekat kebebasan kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast