Seorang petugas kesihatan memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 di ICU Hospital Kuala Lumpur. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Status terkini kes Covid-19 sehingga tengah hari tadi telah merekodkan sebanyak 4,712 kes sembuh dengan 2,446,197  kumulatif atau 96.26 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagi kes jangkitan baharu, KKM merekodkan sebanyak 5,809 iaitu 2,541,147 kes kumulatif.

Daripada kes baharu itu, sebanyak 27 adalah import iaitu 21 warganegara dan enam bukan warganegara.

Manakala kes tempatan pula, daripada 5,782 kes, sebanyak 5,561 warganegara atau 96.2 peratus dan 221 bukan warganegara atau 3.8 peratus.

Menurutnya, daripada 5,809 kes harian yang dilaporkan, sebanyak 102 kes iaitu 1.8 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5 serta 5,707 atau 98.2 peratus lagi kategori 1 dan 2.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 527 kes iaitu 484 kes disahkan Covid-19 dengan 43 kes disyaki kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 277 kes iaitu 193 kes disahkan Covid-19 dengan 84 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai jumlah kluster, Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 5,840 kluster dilaporkan dalam tempoh yang sama dengan tiga kluster baharu, 5,562 kluster telah tamat dan 278 kluster aktif.

Menurutnya, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia, termasuk kluster terkini akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my.

Data akan dikemaskini pada jam 12 tengah malam setiap hari.

Beliau juga menasihatkan orang ramai termasuk individu yang telah menerima vaksin agar terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu elakkan 3S (elak kawasan sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat).

“Patuhlah kepada SOP sebagai norma baharu dan dapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius, bilangan kes kematian sekali gus membina imuniti kelompok.

“Dengan pengambilan vaksin, kita dapat melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan jangkitan Covid-19 dan dengan imuniti kelompok yang terbentuk, kumpulan belum layak diberi imunisasi seperti kanak-kanak dapat dilindungi,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan dalam negara dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada WHO termasuk memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Jangkitan Covid-18 hari ini turun 5,809 kes