Presiden MyPPP, Tan Sri M.Kayveas bercakap pada sidang media khas mengenai perkembangan terkini surat ROS di Wisma Tan Sri Kayveas, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Selepas empat tahun melalui krisis kepimpinan membabitkan dua puak, akhirnya parti MyPPP menerima kata putus Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bahawa Tan Sri Kayveas adalah presiden yang sah.

Katanya, surat daripada JPPM yang mengesahkan beliau presiden parti yang sah telah diterima menerusi surat pemakluman rasmi bertarikh 1 September 2021.

“Krisis perebutan jawatan presiden dan bangunan parti ini berlarutan sejak empat tahun lalu iaitu dari tahun 2018 lagi dan sepanjang tempoh berkenaan JPPM mengiktiraf saya sebagai presiden sah.

“Namun ia terus dinafi oleh puak kedua yang memecahbelahkan ahli parti dan mencabar saya dengan 80 laporan polis.

“Umpama cahaya dihujung terowong, usaha kami menyelamatkan parti ini daripada musnah akhirnya terbela apabila JPPM 1 September lalu menerusi surat rasmi mengesahkan saya adalah presiden parti yang sah, sekali gus meletakkan tanda noktah terhadap segala krisis dan pertikaian yang berlaku.

“Saya gembira kerana dapat menyelamatkan parti,” katanya dalam sidang media tersebut tengahari tadi.

Turut hadir Naib Presiden Kanan parti itu, Datuk Seri Gandi Muthusamy, Naib Presiden Datuk Zakaria Abdul Rahman, Datuk M. Chandrakumanan dan Setiausaha Agung Datuk Roger Ly kim Chong dan beberapa pemimpin kanan jawatankuasa sesi 2018-2023.

M.Kayveas

Katanya, selain pengesahan jawatan beliau, surat JPPM itu turut membenarkan beliau menjalankan urusan-urusan pentadbiran berdasarkan perlembagaan parti sahaja.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah, pihaknya akan menulis surat balas kepada JPPM bagi memaklumkan mengenai jawatankuasa kepimpinan terkini penggal 2018-2023 yang diketuai beliau yang akan meneruskan perjuangan parti.

Katanya, kemaskini kepimpinan terbaharu MyPPP perlu dimaklumkan segera kepada JPPM memandangkan jawatankuasa lama penggal 2014-2019 yang pernah dipimpin beliau sudah luput dan tidak berkuatkuasa lagi mengikut perlembagaan parti.

“Kami juga diberi masa oleh JPPM sehingga 31 Disember 2021 untuk menyelesaikan masalah dalaman yang dicetuskan puak satu lagi yang pernah meninggalkan parti ini dan yang cuba mengkucar-kacirkan parti selama ini.

“Berikutan perkembangan terkini dari JPPM ini, kami membuka pintu kepada puak di luar untuk tampil berbincang untuk berbaik semula sebagai satu pasukan untuk meneruskan perjuangan parti demi kemajuan mapan selepas ini.

“Tempoh masa diberikan untuk puak kedua hormati keputusan JPPM dan tampil berbincang untuk berbaik semula masih ada sebagai peluang terakhir mereka.

“Jika mereka masih berdegil dan memilih untuk mencabar dan mengelirukan rakyat.. minta maaflah, lupakan hasrat kembali, tiada lagi tempat untuk anda dalam parti nanti,” tegasnya lagi.

Beliau memaklumkan bahawa pengumuman mengenai pengesahan JPPM sangat penting memandangkan terdapat puak kedua yang didakwa turun ke kempen Pilihan Raya Negeri Melaka dan menyebarkan pelbagai spekulasi tidak benar dan mengelirukan mengenai kedudukan MyPPP kepada rakyat.

Ditanya mengenai Mesyuarat Agung Tahunan parti yang kian lama tertangguh sejak krisis parti 2018 yang lalu, katanya, parti itu menerusi jawatankuasa baharu penggal 2018-2023 akan menunggu dan meneliti situasi Covid-19 disebabkan pelbagai kekangan dan syarat prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan ketika ini.

Presiden MyPPP, Tan Sri M.Kayveas bersama yang lain menunjukkan surat ROS di Wisma Tan Sri Kayveas, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 NOVEMBER 2021.

“Kalau kita mahu adakan Pperhimpunan agung tahunan secara fizikal ia akan mengambil kira jumlah kehadiran ahli yang perlu mematuhi SOP.

“Kita ada masa sehingga Disember 2023, oleh itu akan tunggu dan lihat perkembangan semasa Covid-19 sebelum bertindak mengikut keadaan dalam soal perhimpunan agung parti,” ujarnya. = MalaysiaGazette