Mustapa Mohamed
JOHOR BAHRU – Johor menerima peruntukan sebanyak RM4.6 bilion pada Bajet Johor 2022 untuk kegunaan 434 projek pembangunan, termasuk 79 projek baharu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beberapa projek utama berimpak tinggi yang berupaya memangkin pertumbuhan ekonomi negeri itu akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Antaranya, Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru, Projek Rapid Transit System Link dan Pembinaan Hospital Pasir Gudang.
“Hari ini Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri adakan libat urus dengan kerajaan Johor. Ia adalah sesi libat urus ke-10 kita turun ke negeri bagi jelaskan dasar Rancangan Malaysia Ke-12 namun lebih penting adalah untuk dapatkan maklum balas untuk kerajaan Johor.

“Sebanyak RM4.6 bilion yang kebanyakannya adalah untuk projek sambungan sedia ada membabitkan Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, Projek Rapid Transit Sistem Link (RTS Link), pembinaan sekolah baharu 36 bilik darjah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra 2 di Kulai.

“Selain itu, peruntukan untuk Johor itu juga bagi pembinaan Program Perumahan Rakyat Ulu Tiram dan pembinaan Hospital Pasir Gudang,” katanya selepas menghadiri Roadshow Pasca RMK-12, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, dalam sesi libat urus berkenaan beliau turut memberi penjelasan terhadap isu dibangkitkan kerajaan Johor berikutan kekurangan peruntukan projek baharu di negeri itu.

Beliau menjelaskan, isu kekangan kewangan disebabkan Covid-19 telah banyak menjejaskan hasil negara. – MalaysiaGazette