KUALA LUMPUR – Kehangatan pertembungan ‘derby’ Lembah Klang antara Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC pada aksi suku akhir Piala Malaysia malam ini bukan sahaja mula dirasai oleh peminat tetapi turut melibatkan para pemain.

Bagi penjaga gol Selangor FC, Khairulazhan Khalid, dia sama sekali tidak memandang rendah Kuala Lumpur City yang berada di momentum terbaik selepas tidak tewas dalam enam perlawanan di peringkat kumpulan.

“Kita memang tahu Kuala Lumpur City sedang berada di landasan terbaik dan tidak boleh pandang rendah keupayaan mereka yang sememangnya muncul pencabar terkuat di saingan Piala Malaysia, musim ini.

“Beraksi di peringkat kalah mati sebenarnya suasana amat berbeza setiap jaringan amat penting, serta perlu kurangkan bolos terutama bermain di laman sendiri untuk saingan pertama.

“Sasaran utama kami adalah untuk tidak bolos apabila bertemu Kuala Lumpur di Stadium MBPJ dan kami akan cuba sedaya upaya bagi menghalang mereka.

“Piala Malaysia menjadi antara sasaran utama kami pada musim ini bagi mendakap sekurang-kurangnya satu kejuaraan buat Selangor, ” katanya. – MalaysiaGazette