Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa hadir untuk membuat lawatan ke Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada Pilihan Raya Negeri Melaka di Hotel KOBEMAS Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 14 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berbaki kurang seminggu, pengundi digesa agar tidak leka dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, peranan media sangat penting dalam mengingatkan rakyat agar tidak mengambil mudah terhadap SOP yang ditetapkan.

“Banyak observation (pemerhatian) saya, pematuhan agak longgar di merata tempat saya pergi, baik di kedai-kedai dan di tempat tumpuan awam.

“Saya nampak pematuhan kepada penjarakan, buka mask di ruang makan dan sebagainya, perlunya ada kepatuhan yang tinggi,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Hotel Kobemas, Ayer Keroh, hari ini.

Tambahnya, cabaran besar pasca PRN Melaka adalah untuk mengelakkan berlakunya peningkatan kes Covid-19.

“Kalau lepas pilihan raya berlaku lonjakan yang tinggi, maknanya kita gagal.

“Jadi ini satu cabaran buat semua, kerana perlu ingat, ini menjadi contoh untuk PRN Sarawak nanti. Kalau di sini berlaku penularan, nanti di Sarawak orang takut nak keluar mengundi,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau turut mengulas tentang kebenaran untuk calon berkempen di media rasmi kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Kita mengamalkan dasar keterbukaan dengan memberi ruang yang sama rata kepada semua calon untuk menghidupkan lagi suasana demokrasi melalui proses pilihan raya ini.

“Atas dasar itulah kerajaan telah bersetuju supaya pemaparan data-data, biodata, imej calon-calon dipertingkatkan lagi dalam saluran nasional khususnya RTM.” – MalaysiaGazette