Datuk Seri Najib Razak 1MDB corruption trial Jho Low
Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa tidak pernah memberi sebarang arahan supaya tidak mengikut arahan Low Taek Jho atau Jho Low dalam urusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dakwaan itu dibuat oleh saksi pendakwaan ke-10, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman dalam prosiding yang membabitkan bekas Perdana Menteri itu dalam penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Malah, dakwa Mohd Hazem, Najib tidak pernah cuba memisahkan dirinya (dissociate) dirinya daripada Jho Low.

“Najib dan Jho Low sangat rapat. Saya patuh kepada semua arahan yang diberikan kepada saya oleh Jho Low kerana itu adalah arahan daripada perdana menteri sendiri.

“Ketika bermesyuarat di Langgak Duta, Jho Low dan Najib juga kelihatan sangat rapat,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa, Datuk Seri Gopal Seri Ram di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Mohd Hazem Abdul Rahman

Ketika Sri Ram bertanya adakah saksi mendapat manfaat daripada sebarang transaksi dana 1MDB, Mohd Hazem hanya menafikan dakwaan tersebut.

Dalam prosiding sebelum ini, pembelaan pernah berhujah Mohd Hazem antara yang berkemungkinan mendapat manfaat besar daripada pemindahan keluar dana 1MDB setelah berpakat bersama-sama Jho Low dan beberapa lagi individu.

Prosiding bersambung jam 9 pagi esok.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan ketika ini sedang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. -MalaysiaGazette