Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd Amin Penasihat Pasukan Sempadan Australia (ABF) di Malaysia, Superintendan John Fleming selepas sidang media di Ibu Pejabat Maritim Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Pembukaan semula sektor ekonomi yang memerlukan jumlah pekerja buruh  tinggi mendorong kepada penyeludupan migran dari negara asing.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd Amin berkata, lebih membimbangkan, ada tali barut yang menjadi ejen sindiket berperanan sebagai penghantar dan pemerhati kerana ia menghasilkan pendapatan lumayan.

Untuk itu, kerjasama antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia/APMM) dan ABF menerusi Op REDBACK ke-16 akan menumpukan komunikasi strategik di lokaliti tertentu terutama di Johor.

“Jenayah rentas sempadan di Selat Melaka khususnya perairan Johor Barat lazimnya didalangi sindiket yang mempergunakan komuniti maritim tempatan sebagai ejen.

“Ada besar kemungkinan (peningkatan penyeludupan migran) selepas negara kita menjadi tumpuan dan menjanjikan banyak peluang pekerjaan.

“Nasihat kami kepada mereka yang bertindak sebagai ejen sindiket ini untuk tidak terbabit sebaliknya melaporkan kegiatan sindiket kepada pihak berkuasa. Kami faham rakyat terkesan pandemik tetapi ini bukanlah caranya. Bantu kami tangani jenayah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Op REDBACK ke-16 di Ibu Pejabat Maritim Johor hari ini.

Turut hadir Penasihat Pasukan Sempadan Australia (ABF) di Malaysia, Superintendan John Fleming.

Hamid berkata, Op REDBACK selama tujuh hari bermula hari ini hingga 21 November ini membabitkan sesi latihan secara perkongsian kepakaran secara teori mahu pun praktikal dalam memperkasa keupayaan sumber manusia khususnya pegawai dan anggota Maritim Malaysia.

“Keluasan perairan negara yang berjumlah 614,000 kilometer persegi dengan sempadan perairan sepanjang 8,840 kilometer serta pantai di sepanjang 4,675 kilometer adalah antara ruang lingkup tanggungjawab Maritim Malaysia.

“Usaha mengekang, membanteras dan memerangi jenayah rentas sempadan memerlukan kerjasama rakyat terutama komuniti maritim dalam melaporkan sebarang maklumat berkaitan,” katanya.

Kata beliau, sekiranya perkara itu tidak ditangani secara cekap dan strategik menerusi pendekatan penguatkuasaan mahupun hukuman, ia akan menjadi barah dalam masyarakat.-MalaysiaGazette