Home Nasional ‘Juruteknik komputer’ curi wang, perdaya jurujual aksesori telefon

‘Juruteknik komputer’ curi wang, perdaya jurujual aksesori telefon

KUALA LUMPUR – Malang tidak berbau.

Seorang jurujual kedai aksesori telefon bimbit kehilangan wang jualan premisnya kepada seorang ‘juruteknik sistem komputer’ di Puncak Alam dekat sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, dalam kejadian pukul 7.15 malam itu, pengadu bekerja di Kedai Aksesori Telefon telah didatangi oleh seorang lelaki tempatan berusia sekitar 40-an.

Lelaki berkenaan memperkenalkan dirinya mewakili ibu pejabat dan bertugas sebagai juruteknik bahagian sistem komputer dan mengarahkan pengadu mencetak penyata akaun syarikat untuk menyemak duit hasil jualan.

“Malah suspek juga mengarahkan pengadu mengira duit jualan yang ada di kaunter di hadapan suspek yang berjumlah RM750.

“Setelah selesai mengira duit itu, pengadu meletakkan wang jualan itu di tepi meja kaunter sebelum suspek terus menyuruh pengadu tandatangan beberapa keping resit dan dalam masa yang sama, meminta macam-macam.

“Suspek buat-buat sibuk di hadapan pengadu sehinggakan pengadu tidak menyedari apa yang telah berlaku seolah-olah dirinya telah dipukau oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ramli, setelah selesai urusan, suspek tersebut menyuruh pengadu menyimpan resit-resit yang ada dan memberitahu agar pengadu membuat penutupan akaun seperti biasa.

Menurutnya, hasil siasatan polis mendapati tempat kejadian merupakan bangunan kedai dua tingkat dan berada di tingkat bawah dan berada di lot tengah.

“Suspek telah masuk ke dalam kedai melalui laluan utama dan telah berjumpa pengadu di kaunter pembayaran yang berada di dalam kedai tersebut.

“Hasil rakaman kamera litar tertutup mendapati, pengadu telah mengeluarkan duit daripada mesin kaunter pembayaran dan meletakkan di tepi mesin tersebut.

“Kemudian suspek telah mengambil duit tersebut dan mengira duit di hadapan pengadu sebelum memasukkan duit berkenaan ke dalam poket seluar miliknya,” ujarnya.

Tegas beliau, pengadu mengalami kerugian RM750 dan polis telah mempergiatkan usaha mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Beliau sehubungan itu menasihati semua peniaga agar berhati-hati jika ada mana pihak berkuasa hendak membuat pemeriksaan.

“Pertama sekali minta kad kuasa pengenalan diri atau jika masih ada keraguan ke atas individu itu boleh berhubung segera dengan polis atau mana-mana balai berhampiran,” tegasnya.-MalaysiaGazette