Mohamad Fawwaz Mohamad Jan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Kedah jangan melayan politikus kurang akal yang sudah dijangka akan menentang usaha menamatkan operasi judi dan mengurangkan penjualan arak di negeri itu.

Kemunculan segera pimpinan DAP membantah keputusan itu bagaikan munculnya buaya di air tenang.

Bahkan seperti dijangka, DAP akan memanaskan isu ini dengan menjebaknya ke kancah perkauman dan politik sempit.

Sedangkan tindakan kepimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor adalah usaha besar menyelesaikan kemelut, masalah, penyakit sosial serta rantaian jenayah dalam kalangan manusia dan negara.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamad Fawwaz Mohamad Jan percaya bantahan beremosi para pemimpin DAP kerana senak otak dengan keputusan Kedah itu bukanlah kerana memperjuangkan hak seperti didakwa mereka.

Sebaliknya bantahan mereka itu adakah satu petunjuk  DAP adalah sebahagian daripada dalang di sebalik banyak aktiviti, kegiatan dan industri dari judi dan arak.

Dakwanya, hasil lumayan dari industri dosa ini menjadi dana dan pembiayaan untuk survival politik pihak tertentu yang menjadi ‘pelindung’ kepada judi dan arak.

Paling bahaya, dari keduanya terdapat ‘lembaga’ lebih besar bermaharajalela pada black economy yang menjahanamkan negara.

Disebabkan itu, katanya, kerajaan perlu sensitif dan memahami liciknya kedua unsur ini menjalar dalam masyarakat hingga menumbuhkan banyak masalah dan jenayah lain.

Bukan sahaja kerosakan kesihatan individu dan keruntuhan institusi keluarga, tapi di sana juga berkembang biak dadah, pelacuran, kecurian, rompakan, pergaduhan, pembunuhan dan banyak jenayah lagi.

”Setidak-tidaknya, di sebalik aktiviti judi dan arak yang dilesenkan, wujud lebih banyak perjudian dan arak secara haram dengan terselindung pelbagai masalah dan jenayah lain,” katanya.

Oleh itu, langkah Kerajaan Negeri Kedah adalah usaha mengekang dan membendung kebejatan telah sedia membarah.

Mohamad Fawwaz berharap segala tentangan dan kritikan dihadapkan dari keputusan ini tidak dirasakan Kedah bersendirian dan yakin majoriti rakyat Malaysia yang waras menyokong penuh keputusan tersebut demi melihat kehidupan rakyat lebih baik dan negara ini aman dari belenggu judi dan arak.

Katanya, Pas juga berharap Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memiliki keberanian dan keazaman politik untuk mengambil langkah serupa.

”Kantung pendapatan kerajaan mesti disucikan daripada sumber judi dan arak. Lesen berkaitan mesti ditamatkan dan dihapuskan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette