Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berharap langkah Kerajaan Negeri Kedah yang tidak lagi meluluskan lesen perjudian kepada mana-mana premis perjudian di negeri itu dicontohi oleh negeri-negeri lain.

Yayasan itu menyokong penuh dan mendukung keputusan Kerajaan Negeri Kedah itu bersetuju dengan pendirian Kerajaan Negeri Kedah bahawa aktiviti perjudian tiada langsung manfaat dan kebaikan kepada rakyat tambahan pula menjadikan masalah hutang piutang dalam kalangan rakyat kian membebankan, memporak peranda institusi keluarga dan masyarakat.

Keputusan ini diumumkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas pembentangan Bajet Kedah 2022 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin, menjadikan tiada lagi perjudian di Kedah selepas lesen premis perjudian yang sedia ada tamat tempohnya nanti.

Yang Dipertuanya, Cegah  berkata, ‘Yadim yakin keputusan ini turut diterima dan disambut oleh seluruh rakyat khasnya umat Islam dan penganut agama lain amnya bahawa aktiviti perjudian sememangnya amat tidak berfaedah dan tiada mana-mana agama yang mengizinkannya.

”Begitu juga Kerajaan Negeri Kedah memutuskan untuk menghadkan penjualan minuman keras di kawasan terbuka dan juga di tempat-tempat yang tiada
keperluan penjualan di seluruh negeri.

”Keputusan ini sekali gus bersifat Saddu Zaraie’ atau pencegahan sebelum berlaku keburukan yang ia menepati Maqasid Syariah bagi memelihara harta dan akal manusia daripada kerosakan dan kebinasaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Nasrudin yakin usaha dakwah dan pembinaan kefahaman agama Islam secara berterusan oleh para pendakwah, para guru agama dan juga badan-badan dakwah yang pelbagai telah menjadikan keputusan ini disambut baik oleh seluruh rakyat khasnya di negeri Kedah dan Malaysia amnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast