Muhammad Sanusi Md Noor

ALOR SETAR – Pengusaha premis perjudian sedia ada di Kedah boleh mencari alternatif perniagaan lain yang bersesuaian untuk kelangsungan pendapatan mereka selepas kerajaan negeri memutuskan tidak lagi meluluskan lesen perjudian kepada mana-mana premis berkenaan di negeri ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, pengusaha itu perlu menjadi kreatif dalam meneroka peluang perniagaan baharu yang dapat menjana pendapatan sendiri dan bukan hanya mengharapkan aktiviti perjudian itu.

“Ada banyak syarikat lain terjejas dengan COVID-19 telah meneroka bidang perniagaan baru di premis perniagaan masing-masing, seperti kedai perabot tukar jadi kedai makan, ada kedai gunting rambut jadi kedai salon kecantikan, macam-macam boleh buat,” katanya pada sidang media di penghujung hari kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Terdahulu pada sesi perbahasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (DAP-Derga) Tan Kok Yew meminta kerajaan negeri menarik balik keputusan itu kerana beliau berpendapat ia boleh menyebabkan kekurangan dana bagi membantu sektor pendidikan, sukan dan kebajikan di negeri ini.

Selain itu Tan juga memaklumkan bahawa keputusan berkenaan juga akan menyebabkan pengusaha premis perjudian terpaksa menanggung kos serta berlaku pengangguran.

Muhammad Sanusi berkata, beliau yakin yang pengusaha, termasuk pekerja premis itu di negeri ini tidak begitu ramai terjejas berbanding kerosakan yang berlaku daripada premis berkenaan.

Semalam media melaporkan keputusan kerajaan negeri untuk tidak lagi meluluskan lesen perjudian kepada mana-mana premis perjudian di negeri ini bagi memastikan Kedah bebas daripada aktiviti berkenaan pada masa akan datang. – Bernama