Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Projek setiap kementerian yang ditolak sebelum ini boleh dimohon semula menerusi MyProjek bermula selama satu bulan dari 1 hingga 31 Mac tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) akan mengedarkan surat pekeliling mengenai perkara itu.

Menurut beliau, bagi menilai permohonan berkenaan, kerajaan menerusi empat agensi pusat akan mendapat input dari kementerian, kerajaan negeri dan Ahli Parlimen berhubung projek yang dimohon semula itu.

“Proses sekarang ialah kita banyak berhubung dengan kementerian. Maknanya, kalau projek itu berkaitan dengan sekolah, EPU akan dapatkan maklumat daripada Kementerian Pendidikan. Begitulah seterusnya.

“Selain itu, kita juga akan mendapatkan input daripada kerajaan negeri dan wakil rakyat, sebelum memulakan proses pada Mac 2022.

“Dengan kata lain, mana-mana peruntukan yang tidak diluluskan dalam sidang Parlimen ini sama ada dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) atau dalam Bajet 2022, mereka boleh mohon semula,” katanya dalam sesi menjawab perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Parlimen hari ini.

Menjawab cadangan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai data bank, Mustapa berkata, pihaknya bersedia untuk melakukan penambahbaikan.

Katanya, kerajaan bersetuju menambahbaik data bank itu dan ianya memang sudah ada dalam sistem MyProjek, yang merupakan platform yang menerima beberapa projek dan bertindak sebagai data bank.

“Apabila kita terima permohonan daripada MyProjek, semua (data) masuk dalam sistem itu,” katanya. – MalaysiaGazette