Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary bercakap kepada media selepas Program Konvensyen Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Peringkat Wilayah Persekutuan di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan Kedah menghentikan lesen baharu premis judi harus menjadi contoh, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau  memuji keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri dan optimis langkah tersebut bakal disambut oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri-negeri lain.

“Itu yang paling terbaik tentang apa yang dibuat oleh kerajaan negeri Kedah dan sepatutnya menjadi contoh kepada negeri lain kerana bidang kuasa untuk menghadkan, menyambung atau tidak lesen untuk premis judi ini adalah hak bidang kuasa PBT.

“Jadi tindakan negeri Kedah merupakan tindakan yang dicontohi daripada negeri Kelantan dan Terengganu yang sudah lama tidak ada premis judi seperti itu. Selepas daripada ini saya yakin dan percaya ia nya akan disambut baik oleh pihak PBT negeri-negeri lain,” katanya

Ahmad Marzuk berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2021 di Hotel Sunway Putra hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri Kedah menerusi PBT tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian selain menghadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri, berkuat kuasa serta-merta.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat EXCO minggu lalu bagi mengelak mudarat yang lebih besar kepada penduduk.

“Bilangan lesen premis judi di Kedah ketika ini saya tidak ada angka, tapi mana-mana lesen premis yang telah tamat tempoh selepas ini tidak akan diperbaharui lagi untuk operasi perjudian.

“Saya bukan kata tutup tapi saya tidak bagi lesen premis, mula dengan tidak diberi lesen, kemudian mereka tidak boleh beroperasilah, kita mahu capai sifar judi pada tahun depan,” katanya selepas membentangkan Belanjawan Kedah 2022 di Wisma Darul Aman. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kedah tidak lagi luluskan lesen judi – Menteri Besar