KUALA LUMPUR – Pharmaniaga Berhad berjaya menembusi pasaran vaksin antarabangsa apabila mengeksport kumpulan pertama vaksin Sinovac ke Myanmar pada Sabtu lalu.

Vaksin itu dikeluarkan oleh anak syarikatnya, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS), yang diperakui teknologi tinggi oleh Kesatuan Eropah.

Di Myanmar, vaksin Covid-19 Sinovac akan dipasarkan oleh Hemas Mandalar Pharmaceuticals Ltd (Hemas Mandalar), sebuah syarikat farmaseutikal.

Hemas Mandalar membuat tempahan awal sebanyak 200,000 dos vaksin Covid-19 Sinovac yang telah diisi dan tersedia daripada Pharmaniaga.

Baru-baru ini, kedua-dua syarikat telah menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) untuk Pharmaniaga membekalkan vaksin Covid-19 Sinovac kepada dua hospital swasta milik Hemas Mandalar di Yangon.

Penghantaran dibuat atas kelulusan Pihak Berkuasa Makanan dan Dadah Myanmar.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, kerjasama dengan Hemas Mandalar akan membantu mempercepatkan program vaksinasi pasaran swasta Myanmar.

Sehingga 31 Oktober lalu, Myanmar dilaporkan mempunyai 13% daripada penduduknya yang telah divaksin sepenuhnya.

“Kami gembira dan bersyukur kerana berjaya melakukan penghantaran antarabangsa pertama vaksin Covid-19 Sinovac yang telah diisi dan siap sedia kepada Hemas Mandalar.

”Jumlah bekalan 200,000 dos vaksin akan dihantar dalam beberapa peringkat mulai 13 November,” katanya dalam kenyataan di sini.

Zulkarnain berkata, peluang untuk bekerjasama dengan salah sebuah syarikat farmaseutikal terkemuka di Myanmar itu diharapkan dapat mengukuhkan lagi hubungan perniagaannya dan mungkin membangunkan perniagaan baharu  dengan menggunakan sepenuhnya kedua-dua kekuatan pada masa hadapan.

Tambahnya, pengeksportan vaksin Sinovac memberi keyakinan kepada Pharmaniaga untuk menerokai peluang serupa di negara jiran Asia Tenggara lain dan juga negara Afrika. – MalaysiaGazette