Noor Hisham Abdullah Sarawak state election Covid-19 cases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kadar penggunaan fasiliti kesihatan seperti katil wad biasa dan katil di Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) didapati semakin menurun selaras dengan peningkatan liputan vaksin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) meningkat satu peratus berbanding minggu lepas.

Katanya, mengikut penggunaan fasiliti kesihatan di hospital, katil hospital (wad biasa) adalah 14,644 manakala jumlah penggunaan oleh kes disahkan Covid, kes disyaki dan kes dalam siasatan adalah sebanyak 5,526 katil atau kadar penggunaan sebanyak 38 peratus (penurunan 1 peratus).

“Katil PKRC menyaksikan kapasiti berjumlah 22,673 katil manakala sebanyak 7,948 katil digunakan oleh kes yang disahkan Covid-19 serta kes yang disyaki Covid-19 serta dalam kes dalam siasatan atau penggunaan 35 peratus.

“Tetapi penggunaan katil Hospital di ICU meningkat satu peratus seperti dihuraikan iaitu kapasiti 1,251 katil dan 540 katil digunakan untuk kes disahkan Covid-19, kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan menunjukkan peningkatan sebanyak 1 peratus,” ujar dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, pada peringkat kebangsaan, bilangan pesakit Covid-19 yang dirawat di fasiliti kesihatan kian meningkat berbanding Minggu Epidemiologi (ME) ke-44 walaupun kategori pesakit 1 dan 2 tidak menunjukkan perubahan ketara kerana bilangan pesakit kategori 3, 4 dan 5 didapati semakin meningkat.

Tambah beliau, peningkatan dalam kemasukan pesakit kategori 3 hingga kategori 5 melibatkan hampir semua negeri kecuali negeri Perlis, Perak, Kuala Lumpur , Melaka dan Johor.

“Oleh itu, KKM akan sentiasa menjalankan pemantauan dan penilaian dari semasa ke semasa supaya tindakan awal dapat diambil bagi mengatasi situasi katil hospital yang kembali sesak dengan pesakit Covid-19 di masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette