Penasihat HOMEVEST, Datuk Wira Muhammad Faizal Zainol (kiri), Pengarah Urusan Kumpulan HOMEVEST, Datuk KY Lim (dua kiri) dan Perunding Rekod Senior, Edwin Yeoh (dua kanan) dan Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HOMEVEST, Datuk Marcus Low (kanan) bersama plak penghargaan Malaysia Book of Records.

KUALA LUMPUR – Syarikat pelaburan, pengurusan dan pembangunan hartanah terkenal, HOMEVEST tersenarai dalam Malaysia Book of Records selepas diiktiraf sebagai syarikat pertama di Malaysia menawarkan Program Pemilikan Rumah untuk Pekerja  atau Home Ownership Programme for Employees (H.O.P.E).

Malaysia Book of Records ialah sebuah badan yang mengiktiraf pencipta, pemegang dan pemecah rekod di dalam negara ini.

Sebagai pemegang rekod itu, HOMEVEST berjaya membezakan dengan syarikat lain berdasarkan nilai yang mampu dijana semula kepada pelabur.

Pengarah Urusan Kumpulan HOMEVEST, Datuk KY Lim berkata, sejak dilancarkan pada 2020, HOPE telah menyumbang kepada penambahbaikan program pengekalan bakat di pelbagai syarikat.

Jelas beliau, program itu juga meningkatkan produktiviti pekerja dan menanam rasa kesetiaan pekerja terhadap majikan sejak program ini diperkenalkan.

“Memahami kesukaran  dihadapi majikan dalam mengekalkan pekerja disebabkan oleh kekurangan pengiktirafan dan penghargaan serta faedah syarikat yang  mampu ditawarkan, HOPE hadir untuk membantu.

“Ia mampu membantu majikan di Malaysia memperkasakan pekerja mereka untuk memiliki rumah idaman  masing-masing. Majikan boleh menggunakan program ini untuk mendorong dan memberi ganjaran kepada pekerja mereka yang layak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan faedah program ini setara dengan faedah syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500, yang akhirnya mewujudkan suasana pekerjaan yang positif serta bermanfaat.

Simbolik majlis penyampaian sijil Malaysia Book of Records di ibu pejabat syarikat itu di Kota Damansara, semalam.

Ia diserikan dengan kehadiran Datuk Paduka Maharaja Lela, Istana Negara,  Datuk Azuan Effendy,  Ketua Eksekutif Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Penasihat HOMEVEST, Datuk Wira  Muhammad Faizal Zainol.

“Kami amat berbesar hati kerana HOPE telah diiktiraf oleh pihak yang penting dan relevan dalam industri sebagai sebuah penyelesaian faedah pekerja yang inovatif di Malaysia.

“Dasar dan visi kami ialah untuk membentuk  komuniti ‘smart living’ dengan hubungan yang erat,” kata KY Lim yang baru-baru ini telah dianugerahkan sebagai Top 10 Finalis untuk JCI Creative Young Entrepreneur Award 2021.

Selain itu, HOMEVEST juga secara rasminya menerima sokongan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk pencapaian ini.

“Bahagian pengurusan hartanah kami dipanggil HOMEVEST Living menawarkan pelbagai perkhidmatan menerusi kepakaran yang ada.

“Ia termasuk untuk menguruskan hartanah mereka selain mewujudkan kualiti gaya hidup moden, dinamik dan berkualiti yang menerapkan nilai positit serta terbaik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HOMEVEST, Datuk Marcus Low memberitahu  syarikat mereka menjadi pengurusan hartanah  yang pertama  melancarkan stor rasmi di platform e-dagang,  Shopee baru baru ini.

“Ia termasuk menyediakan pelanggan dengan pembelian dalam talian  yang mudah, selamat dan pantas,” katanya.

Ditubuhkan pada 2016, HOMEVEST berkecimpung dalam perniagaan pelaburan hartanah, pengurusan dan pembangunan di mana kini mempunyai nilai hartanah berjumlah lebih daripada RM328 juta di serata Kuala Lumpur, Selangor dan Johor. – MalaysiaGazette