Akibat kemurungan isu perceraian, seorang tukang rumah cuba terjun dari Tingkat 4 East Coast Mall (ECM) Kuantan di sini pada Ahad lalu.- Gambar media sosial.

KUANTAN – Akibat kemurungan akibat penceraian, seorang tukang rumah cuba terjun dari Tingkat 4 East Coast Mall (ECM) Kuantan di sini pada Ahad lalu.

Bagaimanapun individu itu berjaya ditenangkan dan diselamatkan oleh pihak berkuasa termasuk bomba, kata Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu.

Menurutnya, suspek mengalami tekanan perasaan setelah bercerai dengan isterinya pada September lalu.

Katanya, Bilik Gerakan Ibupejabat Polis Daerah Kuantan menerima panggilan memaklumkan seorang lelaki Melayu berada di atas besi keselamatan tingkat empat bangunan Pasar Raya ECM Kuantan dipercayai membahayakan dirinya.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati suspek sedang duduk di atas besi keselamatan di tingkat empat bangunan bangunan tersebut pada pukul 5.15 petang.

“Pihak bomba turut berada di tempat kejadian. Setelah lebih kurang sejam di tempat kejadian, suspek berjaya dipujuk dan diselamatkan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Video mengenai kerja-kerja menyelamatkan suspek tular di media sosial.

Menurut Wan Mohd Zahari, hasil soal siasat awal dapati suspek berusia 33 tahun mengalami kemurungan selepas bercerai dengan isterinya pada bulan September lalu.

Wan Mohd Zahari Wan Busu

Suspek tidak dapat mengawal perasaan dan mengalami tekanan jiwa lalu bertindak datang ke ECM seorang diri menaiki kereta Jenis Produa Axia dan parkir di tempat letak kereta di ruang bawah tanah.

“Suspek menaiki lif dan menuju ke bumbung aras empat ECM dan suspek memanjat besi keselamatan dan duduk di atas besi keselamatan tersebut bertujuan untuk membahayakan dirinya.

“Suspek dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk rawatan dan pemeriksaan kesihatan dan dirujuk kepada Psikatari,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 309 kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda atau kedua-dua sekali bagi seseorang yang disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette