Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A. Anbalagan. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

SERDANG – Seorang lelaki bujang ditemui mati disyaki terjun dari bangunan tempat letak kereta sebuah pusat membeli belah di Puchong, dekat sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, pihaknya yang menerima panggilan mengenai insiden itu daripada pegawai polis bantuan pusat membeli belah tersebut pada jam 1.55 pagi percaya mangsa telah terjun daripada ketinggian kira-kira 50 kaki.

“Hasil pemeriksaan ditempat kejadian menjumpai seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun, beralamat di Taman Kinrara, Puchong terbaring di atas permukaan jalan serta dengan kesan darah di bahagian kepala dan muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihaknya menemui sebuah kereta Perodua Bezza berwarna perak yang dipercayai kenderaan milik mangsa di tempat letak kereta.

Menurut Anbalagan, kereta itu berkunci dan tiada unsur jenayah di tempat kejadian dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pasukan petugas Kementerian Kesihatan dipanggil ke lokasi bagi tujuan sanitasi sebelum mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik bagi tujuan proses bedah siasat untuk mengetahui punca kejadian.

“Siasatan diteruskan dan diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” ujarnya. – MalaysiaGazette