Pemandu teksi berjaya melarikan diri dari kenderaan itu. - Foto The Independent

LONDON – Pihak berkuasa Britain menaikkan tahap ancaman negara itu kepada tangga kedua tertinggi semalam selepas polis menyatakan letupan dalam teksi di luar hospital Liverpool disebabkan bom buatan sendiri.

Para penyiasat berkata, mereka menganggap letupan yang membunuh suspek dan mencederakan pemandu teksi – sebagai insiden pengganas, tetapi motifnya tidak jelas.

Polis antikeganasan menamakan lelaki yang maut itu sebagai Emad Al Swealmeen, 32 tahun.

Perdana Menteri, Boris Johnson mengutuk serangan di Hospital Wanita Liverpool dan memberitahu wartawan bahawa rakyat Britain tidak takut dengan keganasan.

Penumpang lelaki dalam teksi itu maut dan pemandunya cedera apabila kenderaan itu meletup ketika berhenti di luar hospital tersebut pada pagi Ahad.

Tiga lelaki berusia dalam lingkungan 20-an telah ditangkap di bawah Akta Keganasan dan yang keempat ditahan pada semalam.

Kesemuanya mereka dipercayai rakan sekutu penumpang yang maut, kata polis.

ABC News melaporkan walaupun motif kejadian ini masih belum dapat dijelaskan namun ia telah diisytiharkan sebagai insiden pengganas.

Pada hari kejadian, penumpang itu mengambil teksi pada jarak 10 minit pemanduan dan diminta untuk dibawa ke hospital.

Pemandu yang dinamakan oleh media tempatan sebagai David Perry berjaya melarikan diri daripada kenderaannya.

Dia dirawat di hospital dan dibebaskan.

Polis berkata, pihaknya telah menggeledah dua premis di bandar yang dikaitkan dengan penumpang itu, satu di mana suspek tinggal dan satu lagi premis yang disewanya baru-baru ini.

Polis menemui beberapa barang penting di kedua-dua tempat.- ABC News