Mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping bagi proses bedah siasat.

TAIPING – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan kesan koyakan pada kepala serta patah paha kiri di kawasan air terjun dekat kaki Bukit Larut, di sini, petang tadi.

Mayat S. Jagenrau, 35, ditemui orang ramai yang kebetulan melalui kawasan air terjun tersebut sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak polis pada jam 4.30 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, mayat lelaki yang berseluar pendek itu ditemui polis di kawasan air terjun terbabit iaitu kira-kira 350 meter dari jalan utama.

“Hasil pemeriksaan ke atas mangsa membawa kepada penemuan kesan koyakan pada kepala, cuping telinga kanan selain paha kaki kirinya patah.

Mayat mangsa ditemui orang awam sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan berkenaan tidak menjumpai sebarang tanda berunsurkan jenayah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Jelas beliau, pihaknya meminta bantuan bomba bagi menurunkan mayat mangsa ke jalan utama sebelum dihantar ke Hospital Taiping untuk tindakan lanjut.

“Proses bedah siasat akan dilakukan esok selepas mendapat keputusan ujian saringan Covid-19.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih diteruskan termasuk mengenal pasti punca kejadian.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat,” kata beliau. – MalaysiaGazette