Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pelan tindakan menangani pemulihan pasca pandemik yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Strategik (SDP) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) 2021-2025 membuahkan hasil apabila menerima pelaburan besar sebanyak RM21.41 bilion.

Ia merupakan peningkatan 34% daripada sasaran awal sebanyak RM16 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon berkata, sektor pembuatan kekal sebagai aktiviti utama dalam NCER, menyumbang sebanyak 32% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan pelaburan yang diluluskan meningkat 304% kepada RM47.91 bilion pada separuh pertama tahun 2021 berbanding RM11.8 bilion pada separuh kedua 2020, sekali gus menandakan pemulihan jangka panjang.

Pemulihan dalam permintaan global membawa pertumbuhan perdagangan luar NCER sebanyak 13.1% tahun ke tahun, merekodkan sebanyak RM191.7 bilion pada suku ketiga tahun 2021 dengan jumlah sebanyak 35.1% daripada keseluruhan nilai perdagangan luar Malaysia.

”Pendekatan serampang tiga mata NCER yang memperkasakan kumpulan mudah terjejas melalui program modal insan yang berpaksikan rakyat, memangkin pertumbuhan ekonomi serantau yang seimbang melalui infrastruktur strategik dan memacu pelaburan swasta untuk menangani ketidakseimbangan serantau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pendekatan ini akan turut membolehkan NCER mencapai ekonomi bernilai RM300 bilion; purata pendapatan isi rumah mencapai RM10,508; 161,197 penciptaan pekerjaan terkumpul dan RM146.5 bilion pelaburan swasta menjelang 2025.

Di samping itu, pelaburan ke wilayah ini akan mewujudkan sejumlah 23,506 pekerjaan di NCER.

Selari dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’, lebih 65,000 peserta termasuk wanita, belia dan masyarakat Orang Asli telah menerima manfaat daripada pelbagai program modal insan berpaksikan rakyat dalam mengatasi cabaran pandemik.

Menurut beliau, program-program ini akan diteruskan sepanjang RMKe-12, selaras dengan matlamat membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025.

”Lebih 12,000 isi rumah miskin dan miskin tegar yang disenaraikan di bawah pangkalan data e-Kasih dan iDamak telah mendapat manfaat daripada program Kasih Ibu NCER di Kedah, Perak dan Perlis melalui bantuan dalam pembelian keperluan asas dan penjagaan kesihatan, bagi mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup,” tambahnya.

Sehingga kini, Ismail Sabri berkata, hampir 600 daripada penerima telah diintegrasikan ke dalam program empowerNCER dan JomNiaga@NCER dan mereka kini sudah mampu menjana pendapatan sendiri.

Berikutan kejayaan inisiatif ini, lebih 5,000 peserta akan disepadukan ke dalam program ini dalam usaha mencapai sasaran sifar miskin tegar RMK12 menjelang 2025.

Program empowerNCER-Kemahiran dan Keusahawanan dan JomNiaga@NCER akan mewujudkan hampir 10,000 usahawan mikro dan pekerja mahir dalam kalangan kumpulan B40.

”Pada masa ini, lebih 900 peserta telah keluar daripada kemiskinan, di mana 300 peserta telah beralih ke dalam kategori M40 dan T20. Lebih 5,000 penggerak ekonomi tempatan ini bukan sahaja berjaya menjana pendapatan kira-kira RM45 juta secara kolektif dalam tempoh enam bulan, tetapi juga mewujudkan lebih 1,200 pekerjaan untuk masyarakat setempat.

“Program ini juga telah membantu lebih 5,200 perusahaan mikro dan PKS yang mana pembiayaan RM85.9 juta telah diluluskan oleh Maybank dan AgroBank, menghasilkan Sifar Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) setakat ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette