Mohd Wazir Mohd Yusof

KUANTAN – Seorang pelabur atas talian di Triang dekat sini mengalami kerugian RM29,000 apabila tertipu dalam pelaburan tidak wujud setelah terpedaya dengan iklan menerusi media sosial.

Ketua Bahagian Jabatan Sisasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa telah terpedaya selepas berurusan menggunakan aplikasi weechat sejak September lalu.

Tambah Mohd Wazir, mangsa telah membuat sembilan kali transaksi ke dalam lima akaun berbeza dalam pelaburan tersebut.

“Pengadu telah berurusan dengan penama Andy melalui aplikasi weechat dan hasil urusan tersebut, pengadu berminat untuk membuat pelaburan.

“Pengadu telah diminta untuk membuat pembayaran sebagai modal pelaburan dan membuat sembilan kali pemindahan duit berjumlah RM29,000,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kata Mohd Wazir, selepas pengadu memasukkan kesemua wang, pengadu diminta membuat pembayaran lagi namun mangsa enggan berbuat demikian.

Justeru pengadu hadir ke Balai Polis Triang untuk membuat laporan apabila telah menyedari dirinya ditipu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette