Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap kepada media pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas melawat ke Bazar Ole-Ole, Bandar Hilir, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 16 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Perikatan Nasional (PN) tidak perlu mengikut parti-parti lain yang mengumumkan telalu awal calon yang bakal dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka.

Pengarah Pilihan Raya Negeri (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa calon yang akan dilantik ke jawatan itu sekiranya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Tak semestinya kita ikut parti lain, kita ada pendekatan kita, kita ada strategi kita dan pendekatan kita hari ini adalah menumpukan soal rakyat.

“Rakyat ingin tahu apabila PN diberikan mandat apakah dasar dan inisiatif yang akan dilakukan…itu tumpuan kita dan saya yakin lawatan saya semalam dan hari ini sambutannya semakin hari semakin baik,” katanya kepada media ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Azmin, tumpuan PN ketika ini adalah untuk mencari pendekatan dan memberikan maklumat kepada pengundi Melaka berkenaan calon yang diketengahkan dalam pergerakan yang sangat terhad ekoran pelaksanaan norma baharu dalam berkempen.

Katanya, usaha yang dijalankan adalah dengan memaklumkan kepada pengundi-pengundi di Melaka mengenai kejayaan-kejayaan PN dalam mentadbir ketika pandemik Covid-19.

“Ini keutamaan kita dan pada masa yang sama kita telah mempunyai calon yang dipersetujui oleh PN untuk ditabalkan sebagai ketua menteri sekiranya, Insya-Allah kita mendapat sokongan majoriti daripada pengundi dan rakyat Melaka,” ujarnya.

Azmin turut optimis dengan sambutan rakyat terhadap parti itu akan meningkat dalam tempoh beberapa hari akan datang sebelum tarikh pengundian.

Sebelum ini Pakatan Harapan yang turut menyertai PRN Melaka mengumumkan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Adly Zahari sebagai Ketua Menteri manakala Barisan Nasional (BN) menamakan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sekiranya memenangni pilihan raya itu – MalaysiaGazette