Anggota Polis Melaka menunjukkan jari yang berbekas dakwat kekal pada hari pengundian awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Melaka, Ayer Keroh. Foto AMIRUL SHAUFIQ 16 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka  bermula hari ini diakui mempunyai sedikit kelainan kerana dijalankan mengikut norma baharu susulan penularan Covid-19.

Walaupun pengundian awal melibatkan petugas keselamatan barisan hadapan seperti anggota polis dan tentera namun mereka masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Menariknya, tiada lagi sebarang barung panas mahu pun peraih undi daripada parti-parti politik yang bertanding dalam PRN Melaka kali ini susulan arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan perkara itu dilakukan seperti sebelum ini.

Perkara itu diakui seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, Sarjan Norahmad Basri, 54, di mana dia tidak lagi ‘diganggu’ para petugas kempen semasa memasuki pintu utama IPD Melaka hari ini.

“Nampak dari mula saya masuk IPK Melaka sampai mengundi, tiada sebarang gangguan daripada pihak-pihak yang berkempen.

“Kalau dibandingkan tahun lepas, masa kita nak masuk pagar IPK Melaka pun kena kempen untuk lobi calon. Sekarang ini mungkin tak dibenarkan, jadi saya tengok lapang saja,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau mengulas perjalanan proses pengundian awal bagi PRN Melaka yang mengenakan SOP ketat dan norma baharu, melibatkan 700 anggota polis di IPK Melaka bermula hari ini.

Norahmad juga berpuas hati dengan proses pengundian hari ini yang mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pengundi awal terjaga sepanjang masa.

“Saya berpuas hati dengan SOP yang ditetapkan SPR dan MKN. Saya tengok petugas dan pengundi mematuhi SOP peraturan yang telah ditetapkan.

“Saya tengok proses mengundi awal ketat. Masa mengundi pun tak jadi kesesakan macam pilihan raya lepas, kita rasa selesa,” katanya.

Bagi Sarjan Kamarudin Muda, 56, dari IPD Melaka pula  tidak rasa bimbang apabila memasuki pusat mengundi awal hari ini memandangkan persiapan SPR sangat rapi bagi keselesaan pengundi.

Kamarudin Muda. Foto AMIRUL SHAUFIQ 16 NOVEMBER 2021.

“Pada saya. tiada masalah (risau nak datang kerana Covid-19) pasal majoriti rakyat Malaysia ramai yang sudah dua dos (vaksin).

“Saya harap kawan-kawan datanglah awal untuk mengundi awal, saya mengundi di kawasan ini dekat dua kali, bermula PRU-14 dan kini PRN Melaka,” katanya.

Keadaan pusat mengundi yang terkawal turut diakui Sarjan Jasmi Hassan, 44, dari IPD Melaka Tengah kerana kebanyakan pengundi lebih berdisiplin kerana perlu mengimbas suhu badan dan kod QR sebelum dibenarkan mengundi.

Jasmi Hassan. Foto AMIRUL SHAUFIQ 16 NOVEMBER 2021.

“Kaedah (mengundi) agak bersesuaian buat masa ini dalam pandemik, bagus kaedah ini digunakan pada PRU-15 akan datang.

“Saya rasa SOP yang dibuat kalau nak mengundi agak selamat dan ada penjarakan, selamat bagi pengundi untuk keluar mengundi,” katannya lagi. – MalaysiaGazette