Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan menjawab sama ada Perikatan Nasional (PN) bersedia atau tidak bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan negeri di Melaka.

Beliau sebaliknya mahu melihat keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu terlebih dahulu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, apa yang penting buat masa ini adalah kempen dalam saat-saat akhir bagi memastikan pilihan raya yang akan berlangsung pada 20 November ini berjalan lancar.

“Tapi apa pun soal yang akan berbangkit selepas itu kita akan lihat selepas daripada itu. Jangan jawapan saya ini diputar media mengatakan saya bersedia.

“Saya tidak kata begitu. Saya nak lihat apa keputusan PRN ini dan selepas itu, kita akan mengatur apa langkah strategi tertentu.

“Saya tidak kata bersedia bekerjasama atau tidak bersedia. Saya tidak sahkan apa-apa. Tolong betulkan sikit. Saya takut media pusing mengatakan saya bersetuju mewujudkan kerjasama atau tidak bersetuju.

“Saya fikir yang penting untuk melihat proses pilihan raya berjalan lancar dan beri rakyat Melaka memutuskan apa kerajaan yang nak dibentuk,” katanya ketika sidang media ketika menghadiri program Pertemuan Bersama British Malaysia Chamber of Commerce (Roundtable Meeting) dan Dialog Pemulihan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN),  Datuk Seri Mohamad Hasan semalam bahawa parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti dan tidak terhad dengan PN sahaja sekiranya hanya mampu mempertahankan 13 kerusi  di Melaka.

Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menambah, pengundi di Melaka perlu menilai bahawa PRN kali ini adalah untuk memilih kerajaan negeri yang bakal ditubuhkan.

“Walau pengundi di Melaka faham dan tahu ini PRN bukan PRK, kalau PRK nak pilih wakil rakyat seorang kalau PRN nak bentuk kerajaan negeri.

“Sewajarmya ada satu pandangan yang agak menyeluruh undi mereka untuk membentuk kerajaan.

“Tapi apa kita nak kata kalau parti-parti yang bertanding itu ada satu parti dapat sebilangan kerusi ada satu dapat sebilangan kerusi (tidak cukup majoriti) dan sebagainya saya fikir itu kita lihat kemudian,” ujarnya.-MalaysiaGazette