KUALA LUMPUR – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyasarkan jualan sebanyak RM25 juta semasa Pameran MATTA yang akan diadakan pada 20 hingga 21 Nov depan, selepas dua tahun ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng berkata, persatuan itu berharap sektor pelancongan domestik dan antarabangsa dapat dijana semula melalui acara ini dan seterusnya memulihkan ekonomi.

“Kami telah menetapkan sasaran sederhana selepas edisi terakhir kami yang diadakan pada September 2019, dan kami menyasarkan untuk mempunyai 25,000 pengunjung pada pameran di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media yang dianjurkan secara bersama antara MATTA dan Malaysia Airlines di sini hari ini.

Phua ketika mengulas mengenai pelantikan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan rasmi untuk acara itu berkata beliau percaya kerjasama sedemikian akan terus menjadi tarikan kepada orang ramai untuk ke pameran itu yang akan dirangsang melalui promosi syarikat penerbangan tersebut.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Malaysia Airlines, Lau Yin May berkata syarikat penerbangan nasional itu akan menawarkan diskaun sehingga 35 peratus bagi penerbangan ke semua destinasi percutian di Malaysia dan destinasi antarabangsa terpilih dalam rangkaiannya.

“Tambang hebat ini boleh didapati secara dalam talian atau melalui pameran berkenaan bagi perjalanan segera sehingga 30 Jun 2022.

“Selain itu, ahli Enrich boleh mendapatkan 50 peratus Mata Ganjaran Bonus Enrich apabila mereka membeli penerbangan dengan Malaysia Airlines semasa Pameran MATTA untuk perjalanan sehingga 21 April 2022,” katanya.

Sementara itu, Firefly, subsidiari kepada Malaysia Airlines, menawarkan enam baucar percuma ke mana-mana laluan domestik Firefly, manakala MASwings menawarkan lima tiket penerbangan pergi dan balik ke mana-mana destinasi MASwings.

Lau berkata syarikat itu juga berhasrat untuk meningkatkan jumlah penumpang sebanyak 50 peratus melalui promosi Pameran Matta.

“Projek gelembung pelancongan Langkawi adalah satu kejayaan yang besar dan pembukaan semula sempadan antara negeri juga telah meningkatkan permintaan untuk penerbangan kami sebanyak 10 kali ganda,” katanya.

Pameran Matta menawarkan kemasukan percuma tetapi hanya membenarkan pelawat yang divaksin sahaja di dalam dewan.

Pengunjung tidak dibenarkan membawa kanak-kanak ke pameran seperti yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan. – MalaysiaGazette