Sebahagian peserta konvokesyen bergambar pada Konvokesyen Kolej UNIKOP di Maktab PDRM Cheras, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Pencapaian wanita telah melebihi lelaki dalam sub-indeks pencapaian pendidikan dengan skor 1.059, menurut penerbitan Statistik Pemerkasaan Wanita dalam Domain Terpilih Malaysia, 2021

Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) mengenal pasti jurang antara wanita dan lelaki dalam empat sub-indeks merangkumi peluang dan penyertaan ekonomi, pencapaian pendidikan, kesihatan dan kehidupan dan penguasaan politik.

Skor dengan nilai 1.0 (100%) menunjukkan kesaksamaan antara wanita dan lelaki telah dicapai.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, sub-indeks kesihatan dan kehidupan mencatatkan skor 0.956, diikuti sub-indeks peluang dan penyertaan ekonomi (skor 0.738).

Bagaimanapun, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita masih rendah iaitu 55.3 peratus pada tahun 2020 jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain seperti Singapura (69.7%) dan Thailand (66.8%).

Secara amnya, KPTB wanita bagi negara membangun melebihi 60 peratus.

Penguasaan politik mencatat skor terendah iaitu 10.0 peratus (skor 0.100) yang menunjukkan wanita masih jauh ketinggalan berbanding lelaki dalam jawatan
menteri dan Parlimen.

“Berdasarkan kepada skor MGGI 2020, kita berada di kedudukan ke-74 daripada 156 negara di dunia.

”Pada masa yang sama, dalam kalangan negara Asia Timur dan Pasifik, Malaysia turun ke kedudukan kelapan berbanding 2019 dan mendahului Thailand, Vietnam, Indonesia, China dan Brunei Darussalam. Walau bagaimanapun, kita masih di belakang New Zealand, Filipina, Australia dan Singapura,” katanya.

Sementara itu, beliau juga turut berkongsi beberapa fakta dan statistik menarik
tentang wanita berkata, dianggarkan 15.8 juta penduduk Malaysia adalah wanita daripada keseluruhan 32.6 juta penduduk pada 2020.

Dari segi kelahiran pula, bayi perempuan mencatatkan 226,578 kelahiran daripada keseluruhan 470,195 kelahiran hidup pada 2020.

Wanita sebagai ketua isi rumah pula dianggarkan membelanjakan RM3,666 sebulan dan perbelanjaan ke atas makanan dan minuman bukan alkohol ialah RM690 atau 18.8 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pada 2019.

Mengulas MGGI mengikut negeri bagi 2020 beliau menambah, tiga negeri yang mencatatkan skor tertinggi pada tahun 2020 ialah Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Perlis.

Kuala Lumpur mendahului skor yang paling tinggi pada 2020 iaitu 0.853, diikuti Putrajaya (skor 0.793) dan Perlis mencatatkan skor 0.782. – MalaysiaGazette