PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan supaya semua penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) tidak menjadikan penyampaian pingat tersebut tanpa istiadat sebagai isu.

Ini kerana penyampaian pingat itu diadakan pada 22 Julai lalu ketika penularan wabak pandemik Covid-19 menyebabkan tiada sebarang majlis dibenarkan diadakan.

Oleh sebab itu, PDRM telah mengeluarkan garis panduan sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) agar penyampaian pingat dan sijil itu dilaksanakan tanpa majlis istiadat serta tidak mengabaikan garis panduan yang ditetapkan, kata Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Zaini Jass.

Beliau mengulas demikian susulan tular satu gambar yang memaparkan penyampaian PJPN tanpa istiadat melalui aplikasi Whatsapp semalam.

“PDRM ingin mengingatkan kepada semua penerima untuk tidak menjadikan isu berhubung penyampaian pingat dan sijil penghargaan PJPN tanpa istiadat.

”Garis panduan penyampaian PJPN membenarkan pegawai kanan polis yang lebih kanan pangkatnya daripada penerima menyerahkan pingat dan sijil penghargaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tegas beliau, perkara ini seharusnya tidak disensasikan sehingga menimbulkan salah faham kepada umum dengan memberi tanggapan negatif kepada PDRM demi menjaga kemuliaan pingat serta jasa penerima sendiri. – MalaysiaGazette