Antara pelanggan yang ditahan kerana tidak menjaga SOP dalam serbuan polis di Johor Bahru malam tadi.

JOHOR BAHRU – Seramai 32 individu termasuk 13 wanita dikompaun RM181,000 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) di sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Abdul Razak Susur 1, di sini malam tadi.

Penjaga premis dikompaun sebanyak RM25,000 manakala setiap pengunjung dikompaun sebanyak RM5,000 ringgit setiap seorang.

Ketua Pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Konntinjen (IPK) Johor, Asisten Supritenden Saifullah Jaya @Yahaya berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua pengunjung didapati melanggar SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Antara SOP yang dilanggar oleh pengunjung kerana tidak menjaga penjarakan fizikal.

“Hasil maklumat daripada orang awam kepada Ketua Polis Johor sendiri yang mana terdapat operasi pusat hiburan dijalankan di sini.

“Apabila kita masuk, muzik dan lampu dipasang dan didapati seramai 18 lelaki dan 14 wanita berhibur di dalam premis dan mendapati nama mereka tidak dipaparkan Mysejahtera di dalam premis.

“Jadi kita anggap kesemua pelanggan melanggar SOP ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi di sini malam tadi.

Menurut Saifullah Jaya, kesemua mereka yang ditahan berumur diantara 18 hingga 38 tahun.

Sementara itu, 13 daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Pemeriksaan turut mendapati premis pusat hiburan itu beroperasi tanpa lesen yang sah.

Kesemua yang ditahan telah diambil tindakan mengikut Peraturan 17 kurungan satu Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Negeri Johor.- MalaysiaGazette