Anis Izreen menjual lemang dan rendang di tepi jalan setiap hari di Kuantan

KUANTAN – Tidak mewarisi kemahiran membuat lemang daripada sesiapa namun pasangan ini kini mampu menampung keluarga hasil penjualannya.

Bagi Anis Izreen Abdul Rahman, 34, dan suaminya, Ahmad Khairul Isam Mohamed Nasir, 44, mereka belajar membuat makanan tradisional itu menerusi You Tube.

Menurutnya, idea untuk menjual lemang tercetus semasa Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) tahun lalu apabila persaingan menjual nasi lemak terlalu ramai di Kuantan.

Jualan lemang memberangsangkan membolehkan Anis Izreen beroleh pendapatan RM200 sehari

Sebelum itu, Anis juga menjual nasi lemak selama lebihi tiga tahun sebelum berputus asa kerana jualannya menurun semasa musim PKP.

Jelas ibu anak tujuh itu, walaupun belum sampai setahun melibatkan diri dalam perniagaan lemang, beliau berpuas hati kerana keringatnya kini membuahkan hasil.

Setiap hari, beliau dan suami mampu meraih perndapatan bersih sebanyak RM200.

Tambahnya, walaupun lemang sinonim dengan juadah hari raya namun jualannya beserta rendang tetap menggalakkan pada hari-hari biasa.

Mengakui pernah menjadi penjual lemang selama empat tahun di Temerloh namun  membuat dan membakar makanan itu memerlukan kemahiran terutama dalam aspek menjaga kualitinya.

“Rutin harian membakar lemang dari pukul 4 pagi dibantu oleh anak-anak dan suami manakala saya juga sibuk menguruskan tempahan dan meyiapkan rendang ayam bagi dimakan bersama lemang.

“Selepas Subuh, khidmat penghantaran lemang ke rumah pelanggan dilakukan sehingga tengah hari,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Selesai sesi penghantaran, beliau membuka gerai di laluan Bypass Indera Mahkota bermula pukul 3 hingga 6 petang bagi menghabiskan lemangnya.

Anis berkata, lemang yang dipelajari menerusi You Tube mampu bertahan selama tiga hari dan mempunyai tekstur yang berlemak serta lembut itu dijual sekitar RM15 hingga RM20 sebatang.

“Nasib baik suami dan anak-anak bantu, kami kena berusaha kena komitmen tinggi dan hidup dan anak-anak semua bersekolah.

“Kami bekerja setiap hari dan mempromosi jualan menerusi media sosial seperti Facebook, alhamdulillah pelanggan selalu membuat tempahan walaupun bukan musim perayaan,” katanya. – MalaysiaGazette