Hasni Mohammad
ISKANDAR PUTERI – Belanjawan Johor 2022 memberi tumpuan kepada kebajikan lebih 1,000 kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat covid-19.
Sebanyak RM3 juta dibelanjakan bagi program anak-anak angkat Makmur Johor yang diterajui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Tazim.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, menerusi inisiatif itu, kerajaan negeri menyediakan bantuan RM2,500 sehingga RM5,000 sekali bayar sebagai simpanan di Skim Simpanan Pendidikan Nasional, (SSPN).
“Kerajaan negeri sangat bersimpati dengan rakyat Johor yang kehilangan ahli keluarga tersayang akibat Covid-19.
“Keperitan hidup yang dihadapi anak-anak ini tidak dapat saya bayangkan kerana terpaksa membesar tanpa kasih sayang ibu bapa.
Anak-anak di sekolah rendah dan menengah akan menerima bantuan baucer persekolahan, manakala mereka yang baru tamat persekolahan akan menerima bantuan yuran kemasukan ke
institusi pengajian tinggi,” katanya pada pembentangan Belanjawan Johor 2022, di sini, hari ini.
Kata Hasni, menerusi kerjasama strategik bersama Jabatan Pendidikan NegeriĀ  Johor, (JPNJ) program kaunseling dan motivasi juga akan disediakan.
“Harapan saya agar usaha ini dapat membantu seramai 1,000 orang anak Johor yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19 dan memastikan kebajikan mereka juga sentiasa terjaga,” ujarnya.
Dalam konteks yang lebih besar, menurut Hasni, buat julung kalinya Modul Lindungi Permata Johor juga bakal dibangunkan.
Katanya, Ia merupakan inisiatif untuk melindungi hak kanak-kanak dan waris-waris daripada dieksploitasi, diskriminasi dan penderaan dalam usaha memastikan perkembangan kanak-kanak yang sihat selaras dengan Dasar Kanak-Kanak Negara.
Jelasnya, modul ini dijangka dapat memanfaatkan 401 pusat jagaan kanak-kanak dan taska di Johor.
Beliau berkata, bagi memastikan kualiti penjagaan kanak-kanak di pusat jagaan terjaga dan mematuhi Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, Insentif Yuran Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Permata (KAP) sebanyak RM180,000 akan diperuntukkan.
Dengan pelaksanaan itu, jumlah pengasuh kanak-kanak bertauliah dianggarkan bakal meningkat kepada 200 orang, tambah beliau. – MalaysiaGazette