Hasni ketika hadir bagi membentangkan Belanjawan Johor 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

ISKANDAR PUTERI – Belanjawan Johor 2022 merupakan belanjawan defisit berjumlah RM286.47 juta, peningkatan RM38.33 juta berbanding sebelumnya

Ia merupakan belanjawan defisit untuk dua tahun berturut-turut.

Pada belanjawan 2021, Johor mengalami defisit berjumlah RM248.14 juta selepas merekodkan lebihan untuk 10 tahun berturut-turut.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pada Belanjawan Johor 2022 unjuran hasil negeri berjumlah RM1.671 bilion manakala jangkaan perbelanjaan pula adalah RM1.958 bilion.

Katanya, bajet bertemakan ‘Memperhebat Kesejahteraan Johor’ itu dipilih sejajar bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.

“Belanjawan ini menunjukkan usaha kerajaan negeri yang giat berusaha untuk memberikan suntikan dan lonjakan baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial yang mapan dan berdaya tahan.

“Segala pertimbangan bagi Belanjawan Johor 2022 dipandu oleh dua asas utama iaitu pertama, mendekati dan meringankan beban rakyat yang terjejas akibat Covid-19 dan keduanya, mempergiatkan usaha awalan dalam memulihkan sektor ekonomi negeri secara menyeluruh,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2022, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Menurut Hasni, bagi Belanjawan Johor 2022, kerajaan negeri memperuntukkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.087 bilion manakala RM870 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan.

Ia bakal digunakan bagi melaksana empat indikator dan 12 agenda utama dalam belanjawan berkenaan, ujarnya.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut menambah, anggaran hasil dan defisit tertakluk kepada tahap ketidaktentuan yang dipengaruhi beberapa faktor.

Jelasnya, antaranya kemunculan varian Covid-19 baharu yang memberi kesan sosial dan pembukaan sempadan antarabangsa.

Mengulas Belanjawan Johor 2021, Hasni berkata, sebanyak 141 inisiatif dengan peruntukan berjumlah RM850 juta telah mencapai 85.1 peratus perlaksanaan setakat suku ketiga tahun lalu.

“Selepas Johor mengalami penguncupan 4.6 peratus pada 2020, ekonomi Johor diunjurkan berkembang sekitar 3.5 peratus sehingga 4.1 peratus pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, ekonomi Johor dijangka terus mencatatkan pertumbuhan pada tahap pra-krisis pada tahun hadapan. -MalaysiaGazette