Asyraf Wajdi Dusuki

AYER KEROH – Barisan Nasional (BN)  berasa sedih dengan Perikatan Nasional (PN) yang bertindak ‘menikam’ mereka daripada belakang.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan jawatankuasa penaja PN terbukti menjadi faktor penyebab kepada kehancuran Muafakat Nasional.

“Yang sedih setiap kali kita (Muafakat Nasional) mesyuarat kita tanya kepada Pas sebanyak dua kali. Pas berpegang kepada apa yang dipersetujui untuk menggunakan lambang masing-masing.

“Tapi dalam diam, Tan Sri Muhyiddin Yassin wujudkan Jawatankuasa Penaja PN tarik Pas sertai dan runtuhkan hubungan Muafakat Nasional,” katanya dalam program Pentas Anak Muda sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka secara langsung di Facebook malam ini.

Jelas Asyraf, komponen MIC dalam BN pun pernah terjebak untuk menyertai PN namun menarik balik hasrat itu.

“MIC pun nyaris masuk Jawatankuasa Penaja PN tapi MIC kata saya lebih sayangkan BN daripada PN. Jadi MIC tulis surat kepada RoS (untuk batalkan hasrat sertai PN), kita kena tikam daripada belakang,” katanya lagi.

Pada Ogos tahun lalu, MIC menarik diri daripada menyertai Perikatan Nasional (PN) selepas Umno juga membuat keputusan tidak menyertai gabungan itu.

Sebelum itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu memutuskan untuk tidak menyertai PN secara rasmi.

Ahmad Zahid berkata, UMNO sebaliknya akan terus memperkasakan MN bersama-sama dengan Pas dan parti komponen BN lain. – MalaysiaGazette