Datuk Seri Mohamad Hasan

AYER KEROH – Calon Barisan Nasional (BN) yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu membayar jutaan ringgit sebagai denda sekiranya mereka melompat parti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menegaskan perkara itu berkata, langkah tersebut  sebagai usaha mengelak sejarah lompat parti berulang hingga menyebabkan Kerajaan Negeri Melaka pimpinan UMNO tersungkur kembali.

“BN dah pagar elok-elok. Sebab bukan sikit dia kena bayar, banyak juta dia kena bayar. Ini pagar rusa, bukan pagar itik yang kalau dia langgar melantun balik. Tak tahulah kalau dia kebal, langgar pagar elektrik.

“Saya tak nak cakap berapa (jumlah denda) tetapi terpulang kepada mahkamah untuk tentukan tetapi kita dah tetapkan satu jumlah yang banyak, yang memang dia tak payah fikir banyak lagi sebab tak mampu nak bayar, melainkan ada orang kaya nak beli dia macam Bill Gates ke nak suruh masuk parti dia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Diskusi Perdana BN bertajuk “Kestabilan Demi Kemakmuran” yang turut disertai Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, secara langsung di Facebook, sebentar tadi.

Mohamad berkata, sekiranya BN kembali berjaya menawan Melaka, parti itu akan membawa usul untuk meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Melaka dengan memperkenalkan Enakmen Anti-Lompat Parti.

Walaupun mengakui perkara itu sukar dilaksanakan kerana bertentangan dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia untuk memilih, namun katanya, cadangan itu pasti mendapat sokongan pembangkang terutama Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini tegas membantah aktiviti lompat parti.

Beliau yakin pembangkang terutamanya PH tidak akan membantah kerana jika mereka tidak menyokong, ia pasti akan memakan diri mereka semula.

“Tetapi sekarang ada pula satu perumpamaan apa yang dipanggil katak berprinsip, tak tahulah saya siapa ibu katak, siapa anak katak janji mereka bahagia,” tambahnya.

Menurut Mohamad lagi, menerusi pindaan Enakmen Akta Lompat Parti di Melaka itu, pengundi di Dewan Undangan Negeri berkenaan boleh melakukan petisyen atau bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya supaya pilihan raya diadakan semula.

“Jika (calon) lompat parti, pengundi di DUN itu boleh buat petisyen di SPR dan SPR boleh memungut referendum daripada rakyat dan jika didapati hampir 50 peratus rakyat mahukan pilihan raya semula, maka ia boleh dilakukan,” jelasnya. – MalaysiaGazette