Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Ibu saudara kepada kanak-kanak berusia lima tahun yang maut terjatuh daripada tingkat 16 sebuah kondominium di Selayang, di sini, direman selama tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioneer Zainal Mohamed Mohamed berkata, suspek yang berusia 36 tahun merupakan pengasuh kanan-kanak tersebut dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pada jam 9.30 pagi tadi.

“Pasukan kami mengemukakan permohonan reman ke atas suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu melengkapkan kertas siasatan kes.

“Majistret telah membenarkan tahanan ke atas subjek (suspek perempuan) selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 November ini untuk membantu siasatan kes,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Semalam, Zainal Mohamed menerusi kenyataan media mengesahkan seorang kanak-kanak berumur lima tahun maut terjatuh dari kediamannya di tingkat 16 sebuah kondominium di Selayang.

ARTIKEL BERKAITAN:

Dalam kejadian jam 9.30 pagi mangsa telah ditinggalkan bersama suspek yang merupakan ibu saudaranya kerana ibu mangsa keluar membeli barang.

Namun sejam selepas itu ibu saudara kanak-kanak itu mencari mangsa di dalam bilik tetapi tidak menjumpainya, beliau kemudian menghubungi ibu mangsa untuk memaklumkan mengenai kehilangan anaknya.

Ibu mangsa yang bergegas pulang terkejut apabila melihat mangsa terbaring di atas lantai di tingkat dua kondominium tersebut.

Berikutan itu, Zainal Mohamed menambah, polis telah menangkap seorang suspek perempuan berumur 36 tahun yang merupakan ibu saudara kanak-kanak tersebut untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dengan dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (5b) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu dengan cuai menyebabkan kematian kepada kanak-kanak,” ujarnya. – MalaysiaGazette