Gambar Hiasan

GOMBAK – Lagi kes kanak-kanak maut terjatuh dari kondominium.

Tragedi semalam melibatkan seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang ditinggalkan bersama ibu saudara oleh ibunya kerana keluar membeli barang.

Kanak-kanak malang itu maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pada jam lebih kurang 10.48 pagi polis telah terima panggilan kecemasan memaklumkan seorang budak berumur 5 tahun telah jatuh dari tingkat 16 di kondominium berkenaan.

Katanya, hasil siasatan mendapati rumah tersebut didiami oleh dua wanita dewasa iaitu ibu dan ibu saudara serta mangsa dan adiknya.

“Semasa kejadian pada jam lebih kurang 9.30 pagi, ibu mangsa telah keluar ke kedai di kawasan berhampiran dan meninggalkan mangsa, adik mangsa dengan ibu saudara.

“Pada jam lebih kurang 10.30 pagi ibu saudara kanak-kanak itu telah mencari mangsa didalam bilik tetapi tidak menjumpainya sebelum segera menghubungi ibu mangsa mengenai kehilangan anaknya.

“Ibu mangsa kemudian telah bergegas pulang ke rumah dan terkejut setelahj melihat mangsa telah terbaring di atas lantai di tingkat dua kondominium tersebut,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Bertindak atas kejadian terbabit, Zainal Mohamed menambah, polis telah menangkap seorang suspek perempuan (disyaki ibu saudara) yang berumur 36 tahun untuk membantu siasatan lanjut dalam insiden tersebut.

Menurutnya, siasatan lanjut ke atas suspek wanita itu mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah.

“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (5b) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu dengan cuai menyebabkan kematian kepada kanak-kanak.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pada jam 9.30 pagi nanti bagi permohonan reman untuk membantu siasatan kes.

Oang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi mana-mana balai Polis yang berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Nizar bin Adnan di talian 03-61262222/ 013-9961892. -MalaysiaGazette