Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyifatkan media  menjadi jambatan menghubungkan pihaknya dengan masyarakat berkongsi maklumat yang disediakan kepada pencarum.

Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, selepas lima dekad – dari sebuah jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia pada tahun 1971 – PERKESO telah berevolusi menjadi organisasi yang berdiri teguh memelihara keselamatan sosial rakyat terutamanya para pekerja dan keluarga mereka.

“Pencapaian kami pada hari ini bukan hanya hasil usaha dan jerit perit anggota-anggota PERKESO selama tempoh 50 tahun tetapi dengan kerjasama semua pemegang taruh dan tentunya pihak media yang membantu PERKESO selama ini.

“Tanpa media yang menjadi jambatan antara PERKESO dan masyarakat dalam berkongsi maklumat dan berita, mungkin ramai yang masih tidak faham tentang fungsi PERKESO dan faedah-faedah yang disediakan untuk para pencarum,” katanya dalam majlis Malam Anugerah Media PERKESO 2021 di sini malam ini.

Majlis yang julung kali diadakan pada norma baharu Covid-19 itu telah dihadiri dan dimeriahkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan serta para pegawai tertinggi kementerian untuk meraikan sumbangan pihak media di negara ini.

Justeru, Mohammed Azman berkata, sempena Jubli Emas PERKESO tahun ini, pihaknya juga melahirkan penghargaan kepada semua warga media yang telah mencipta sejarah bersama-sama mereka.

“Setiap ketikan gambar dan nukilan berita oleh saudara-saudari telah membantu meningkatkan tahap kesedaran awam tentang peranan PERKESO dalam perlindungan keselamatan sosial di negara ini.

“Malah, penulisan artikel dan berita bukan hanya menyampaikan ilmu kepada masyarakat malah mampu membentuk pemikiran masyarakat, meredakan konflik, membetulkan persepsi dan membongkar ketidakadilan atau penyelewengan. Betullah seperti kata pepatah, “mata pena lebih tajam daripada mata pedang.” ujarnya.

Menurutnya, sebagai pengiktirafan kepada sokongan pihak media massa mengenai isu-isu berkaitan PERKESO, sebanyak sembilan kategori telah dipertandingkan untuk AMP2021.

Ujar beliau, sambutan untuk majlis julung kali itu sangat menggalakkan yang mana PERKESO telah menerima sebanyak 250 penyertaan untuk sembilan kategori ini dan Malaysia Press Institute (MPI) telah memberi kerjasama sangat baik khususnya dalam Pengurusan Penghakiman bagi Anugerah Media ini.

“Ini termasuklah membuat hebahan pertandingan AMP2021 kepada pihak media massa, menyenaraikan bahan penyertaan, melaksanakan saringan, dan membantu dalam pelantikan hakim dan pengadilan.

“Adalah menjadi harapan kami, hubungan baik yang terjalin antara PERKESO dengan pihak media akan berkekalan, dalam kita melaksanakan peranan masing-masing untuk pembangunan negara yang mampan dan inklusif,” tegasnya.- MalaysiaGazette