PDRM
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seorang anggota polis yang menayangkan pistol selepas mengambil minuman keras terlepas tembakan dan mencederakan seorang lagi pengunjung bar.

Sinchew Daily melaporkan, kes melibatkan seorang sub inspektor itu berlaku pada pukul 8.45 malam, 15 November lalu di sebuah bar berhampiran dengan balai polis Bukit Puchong di Selangor.

Anggota polis itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor dilaporkan mencederakan seorang pengunjung bar berumur 56 tahun.

Mangsa yang merupakan seorang peniaga dari Taman Equine di Seri Kembangan mengalami kecederaan teruk di bahagian belakang badan dan bahu kiri.

Mangsa kemudian dihantar untuk menerima rawatan kecemasan di Hospital Serdang.

Anggota polis yang juga berumur 56 tahun pula ditahan Polis Serdang dan pistol digunakannya juga disita.

Polis menyiasat kes itu di bawah Kanun Keseksaan 307 atas kesalahan cuba membunuh selepas menerima laporan daripada Hospital Serdang pada tengah malam.

“Mangsa tidak mengenali individu yang melepaskan tembakan dan tidak timbul sebarang konflik antara mereka.

“Polis akan menyiasat punca kejadian ini,” kata Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A. Anbalagan. – MalaysiaGazette