Mas Ermieyati Samsudin Melaka CM The Minister of Plantation Industries and Commodities (MPIC), Datuk Zuraida Kamaruddin speaks at a news conference after the launch of Mechanisation and Automation Research Consortium of Oil Palm (MARCOP) at Tenera Hotel, Bandar Baru Bangi, Selangor. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 18 NOVEMBER 2021.
Zuraida Kamaruddin

BANGI – Perikatan Nasional (PN) harus mengetengahkan dan menonjolkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri PN sekiranya mahu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengasas Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, PRN Melaka merupakan medan terbaik untuk mengetengahkan seorang calon wanita sebagai pemimpin negeri.

“Saya sangat menyokong kerana sudah tiba masanya Malaysia mengetengahkan pemimpin negeri seorang wanita, ini adalah peluang terbaik di PRN Melaka.

“Jadi calon wanita yang mereka sebutkan kemungkinan Mas Ermieyati. Calon ini telah menunjukkan ‘track record’ yang baik iaitu dua penggal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah, kepimpinan yang baik dan mempunyai pengetahun yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai calon Ketua Menteri dari PN yang dijangka diumumkan hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Pelancaran Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) di sebuah hotel di Bandar Baru Bangi hari ini.

Dalam pada itu, Zuraida yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan pemilihan wanita sebagai seorang Ketua Menteri bakal menjadi ‘game changer’ dalam arena politik tanah air.

“Kalau tidak lebih hebat dari orang lelaki tapi sekurang-kurangnya setanding.

“Jadi dari segi kelayakan saya nampak Mas amat layak dan saya rasa ia akan menjadi ‘game changer’ pada pilihan raya ini sekiranya PN hendak memenangani PRN harus ketengahkan dan menonjolkan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri PN di Melaka,” ujarnya.

Media semalam melaporkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN akan mengumumkan calon Ketua Menteri hari ini.

Beliau berkata, calon Ketua Menteri itu akan dibincangkan bersama parti komponen dalam gabungan itu bagi memilih individu yang diterima masyarakat secara keseluruhannya serta mampu mendapat sokongan daripada pengundi di atas pagar. – MalaysiaGazette