Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sektor awam dan swasta diseru bekerjasama dan saling melengkapi antara satu sama lain dalam menyemarakkan usaha pendigitalisasi perkhidmatan dan penyampaian kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kolaborasi sedemikian membolehkan negara melangkah ke ekonomi digital dengan yakin dan cukup bersedia.

“Pada saat negara sedang berhempas pulas menguruskan impak pandemik Covid-19, Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah meneruskan agenda literasi kewangannya malah ditambah baik agar lebih ramai keluarga Malaysia dapat terlibat sama.

“Tahniah kepada PNB kerana bukan sahaja menyemarakkan agenda digitalisasi negara malah secara tidak langsung menambah baik kaedah penyampaian dan pendekatan kepada rakyat.

“Saya menyambut baik inisiatif PNB menganjurkan Minggu Saham Digital (MSD) sekali lagi bagi meningkatkan kefahaman masyarakat tentang pengurusan kewangan.

“Pada hemat saya ini adalah platform terbaik baik bagi Keluarga Malaysia untuk sama-sama mempelajari tips mengurus kewangan, menabung dan melabur dalam suasana santai dan selesa bersama keluarga,” katanya ketika berucap menerusi sidang video atas talian sempena Majlis Perasmian MSD 2021.

Terdahulu, Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn melakukan gimik secara fizikal sempena pelancaran tersebut.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menyeru Keluarga Malaysia agar sama-sama menjayakan hasrat murni PNB, celik pelaburan dan celik digital dengan menyokong MSD 2021.

“Menerusi minggu MSD 2021, PNB terus relevan dan lestari dalam mendukung mandat, meningkatkan kekayaan masyarakat bumiputera dan negara secara keseluruhan.

“Saya difahamkan acara tujuh hari ini telah mula bersiaran secara penstriman langsung sejak semalam.

“Harapan saya semoga usaha ini menjadi tarikan kepada para pengunjung dalam talian khususnya golongan belia dan remaja dalam suasana harmoni Keluarga Malaysia yang kita cintai,” ujarnya. – MalaysiaGazette