Mohamad Sabu

BANDAR MELAKA – Mana-mana parti yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh mengangkat calon mereka sebagai Ketua Menteri.

Menurut Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, perkara itu hanya boleh dicapai sekiranya mempunyai bilangan kerusi yang mencukupi.

“Siapa pun layak jika cukup bilangan (kerusi),” katanya.

Mohamad berkata demikian mengulas mengenai pengumuman Perikatan Nasional (PN) yang mengangkat calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri daripada PN.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Mas Ermieyati merupakan satu-satunya calon wanita yang pernah diangkat sebagai calon Ketua Menteri Melaka jika PN menang PRN Melaka.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, PN tidak seharusnya lupa bahawa terdapat tiga calon bagi jawatan Ketua Menteri Melaka yang dipertaruhkan bersama-sama PH dan juga BN.

Katanya bukan sahaja PN, gabungan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) juga ada mengangkat calon mereka untuk jawatan sama.

“Kalau mereka menang bolehlah, tapi ada satu lagi calon BN. Tak tau yang mana tapi kita pilih satu sahaja, Adly Zahari,” katanya lagi.

PN hari mengumumkan Mas Ermieyati sebagai calon tunggul Ketua Menterinya sementara PH menamakan Adly Zahari dan BN mengumumkan semula Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – MalaysiaGazette