Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, Datuk Seri Azmin Ali (kanan) mendengar keluhan penduduk setempat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Pantai Pengkalan Balak, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 19 NOVEMBER 2021.

MASJID TANAH – Perikatan Nasional (PN) melahirkan keyakinan bahawa ahli-ahli Pas akan mengundi calonnya dan bukan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya memegang kepada keputusan pimpinan Pas yang menyeru agar ahlinya memilih calon daripada PN.

“Saya tidak dapat mengesahkan perkara tersebut tapi yang lebih penting adalah Presiden Pas sendiri di dalam mesyuarat Perikatan Nasional dan kenyataan terbuka beliau sejurus selepas Muktamar Pas baru-baru ini telah bertekad bahawa Pas bertanding atas tiket Perikatan Nasional dan telah menyeru semua anggota Pas Melaka untuk bersama-sama PN dalam PRN Melaka.

“Saya amat yakin dengan kematangan ahli Pas yang cukup istiqamah dalam perjuangan dan mereka sentiasa mematuhi keputusan yang telah dibuat secara kolektif di dalam Pas dan PN,” katanya pada sidang media selepas program santai bersama di Kedai Kontena, Pantai Pengkalan Balak, hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati.

Azmin berkata demikian mengulas mengenai video tular seorang ahli Pas Masjid Tanah yang mendakwa sebagai timbalan ketua bahagian itu, beliau akan mengundi calon BN, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Individu yang bernama Mokhtar Razak Badri itu turut mendakwa terdapat mesej bercanggah daripada kepimpinan Pas mengenai siapakah yang harus diundi dan dikempenkan.

Dalam pada itu, Azmin berkata, sekiranya tiada parti yang boleh menubuhkan kerajaan negeri selepas keputusan PRN esok, maka pihaknya akan mengadakan rundingan dengan mana-mana parti bagi tujuan tersebut.

Ia selaras dengan pendirian pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa rundingan hanya akan dijalankan sekiranya perkara itu berlaku kelak.

“Seperti yang ditegaskan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebarang rundingan akan hanya dilakukan selepas PRN Melaka, pada ketika ini kita tumpukan setiap detik untuk menjana sokongan yang lebih baik dan lebih terjamin untuk PN.

“Saya lihat sambutan positif cuma kita mengharapkan sentimen yang berpihak kepada PN dapat diterjemahkan dalam bentuk undi pada esok hari.

“Kita menyeru kepada semua pengundi supaya keluar awal ke pusat pembuangan undi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dan dengan komitmen dan kesungguhkan ini kita dapat bentuk sebuah kerajaan yang stabil dalam PN,” katanya.

Pada Rabu lalu, Muhyiddin berkata, sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak sebaiknya biarlah diputuskan selepas PRN.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, buat masa ini biarlah proses PRN berjalan lancar dan beri peluang untuk rakyat Melaka memilih kerajaan. – MalaysiaGazette