Temubual Malaysia Gazette bersama Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Pusat Media MG, Ayer Keroh, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 19 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Tempoh berkempen yang akan tamat pada jam 11.59 malam ini perlu dimanfaatkan oleh semua calon dan jentera parti Barisan Nasional (BN) bagi memastikan pengundi mendapat maklumat sahih serta mampu menjawab segala kontroversi yang terpalit.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, BN akan terus menolak propaganda jahat lebih-lebih lagi dalam kempen negatif yang dilemparkan pada saat- saat akhir.

“Kita sudah bersedia daripada awal dan memahami perkara sebegini akan berlaku, cumanya kami tidak cepat melatah kerana tahu ia hanyalah kempen.

“Apa yang penting, dalam saat-saat akhir ini BN akan terus meyakinkan pengundi dengan manifesto kami yang realistik untuk dilaksanakan.

“Beri BN peluang unrtuk buktikan manifesto 100 hari itu, selain ada juga untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya dalam program Melaka Memilih hari ini.

Shahril berkata, segala usaha BN adalah untuk meneruskan kelangsungan urus tadbir kerajaan negeri sebelum ini.

“Ketua menteri sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali perlu diberi mandat untuk meneruskan usaha membangunkan Melaka,” katanya lagi.

Dengan tanda pagar #TeruskanYangTertangguh, Shahril berkata, banyak usaha yang harus dilaksanakan, yang mana beberapa tindakan pada ketika ini, telah terhenti di tengah jalan.

“Demi rakyat, pengundi Melaka sudah pasti bijak dan tidak akan membuat kesilapan sama lagi.

“Cukuplah tempoh 22 bulan, berikan kepada BN, sudah pasti akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Seramai 482, 549 pengundi yang berdaftar akan mengundi esok. – MalaysiaGazette