Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed . Foto HAZROL ZAINAL, 19 NOVEMBER 2021.

SEPANG – Siasatan jenayah ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin yang didakwa memukul bekas isterinya, Juliani Jalilah Abdullah telah selesai dijalankan oleh polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kertas siasatan kes membabitkan pemimpin dari Parti Amanah Negara itu sudah dilengkapkan dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah pun menyerahkannya kepada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk semakan.

“Kita sudah rujuk kertas siasatan membabitkan ADUN Morib didakwa mencederakan bekas isterinya kepada JSJ Bukit Aman untuk semakan dan kelulusan.

“Apabila mendapat kelulusan dan arahan tindakan lanjut daripada Bukit Aman nanti, kita akan terus merujuk kertas siasatan itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk pertimbangan dan arahan lanjut (pendakwaan mahkamah),” kata beliau dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang tengahari ini.

Arjunaidi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini siasatan kes tersebut.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.

Sebelum ini Polis Daerah Kuala Langat telah membuka kertas siasatan ke atas pemimpin politik itu selepas menerima aduan daripada Juliani, 38.

Malah Hasnul, bekas isteri serta ahli keluarga mereka telah dipanggil dan diambil keterangan oleh polis untuk membantu melengkapkan siasatan kes tersebut minggu lalu.

Juliani mendakwa dipukul pada 21 Ogos lalu, ketika kedua-dua mereka masih suami isteri.

Hasnul menafikan dakwaan bekas isterinya itu menegaskan, laporan itu dibuat dengan ‘niat jahat’ terhadap beliau selepas perceraian mereka.- MalaysiaGazette